Ramai yang keliru, siapa sebenarnya yang wajib bayar fidyah bila tidak dapat berpuasa? Fidyah bukan sekadar ganti biasa. Terdapat hukum khusus yang ditetapkan syarak, terutama untuk orang yang tidak mampu menggantikan puasa yang ditinggalkan.
Berikut adalah 5 golongan utama yang WAJIB bayar fidyah:
1. Warga Emas Atau Sakit Kronik Tiada Harapan Sembuh

Golongan yang:
- Tidak mampu berpuasa kerana terlalu tua dan lemah
- Mengalami penyakit kronik yang berpanjangan dan tiada harapan sembuh
Mereka TIDAK WAJIB ganti puasa kerana keadaan fizikal tidak mengizinkan. Sebaliknya, mereka perlu membayar fidyah sebagai gantian.
2. Meninggalkan Puasa Kerana Hamil Atau Menyusukan Anak

Jika wanita mengandung atau menyusu tidak berpuasa kerana:
- Risaukan kesihatan diri dan bayinya
- Takut mudarat berlaku pada kandungan atau anak
Maka mereka WAJIB ganti puasa dan BAYAR FIDYAH kerana meninggalkan puasa atas sebab orang lain.
3. Menangguh Ganti Puasa Sehingga Masuk Ramadan Seterusnya

Jika seseorang:
- Tertinggal puasa tahun lalu
- Tidak sempat ganti (qada’) sehingga masuk Ramadan yang baru
Dia WAJIB ganti puasa dan BAYAR FIDYAH sebagai denda kerana melewatkan ganti puasa. Jumlah fidyah akan berganda setiap tahun jika masih belum diganti.
4. Meninggal Dunia Dan Tidak Sempat Ganti Puasa

Jika seseorang meninggal dunia dan;
- Masih ada puasa yang belum diganti
- Tidak sempat menunaikan fidyah
Waris boleh bayar fidyah bagi pihak si mati, berdasarkan jumlah hari yang tertinggal.
5. Meninggalkan Puasa Kerana Musafir Atau Sakit

Musafir dan pesakit yang tidak menggantikan puasa pada tahun ia ditinggalkan, WAJIB ganti puasa dan BAYAR FIDYAH.
Ketahui Cara Kira Fidyah
Jangan Ambil Ringan Tentang Fidyah
Ramai antara kita ambil mudah tentang fidyah, sedangkan ia adalah tanggungan wajib di sisi Allah. Jika anda termasuk dalam mana-mana golongan di atas, tunaikanlah fidyah secepat mungkin.
Daripada Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ مَاتَ وَعَلَيْهِ صِيَامُ شَهْرٍ فَلْيُطْعَمْ عَنْهُ مَكَانَ كُلِّ يَوْمٍ مِسْكِينًا
Sesiapa yang mati sedangkan dia masih mempunyai puasa Ramadan, hendaklah diberi makan seorang miskin bagi setiap hari yang ditinggalkannya.
Riwayat al-Tirmizi (718) dan Ibnu Majah (1757)

