Tanpa sedar, bulan Rejab kembali menyapa. Bulan ini merupakan pembuka tirai kepada bulan-bulan mulia: Rejab, Syaaban dan Ramadan. Ia adalah masa terbaik untuk muhasabah, bertaubat dan memperbanyak amalan, agar kita dapat sampai ke Ramadan dalam keadaan hati yang bersedia.

Doa Masuk Bulan Rejab: Amalan Rasulullah SAW
Antara doa yang masyhur dan disandarkan kepada Nabi SAW:
اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِي رَجَبَ وَشَعْبَانَ، وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ
Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan.
Riwayat al-Baihaqi
Kenapa Kita Disaran Berdoa Sejak Rejab?
- Doa Ini Mengajar Kita Berharap Umur Panjang Dalam Ibadah
Kita tak pasti sempat atau tidak untuk sampai ke bulan Ramadan. Maka, doa ini menjadi harapan agar Allah panjangkan umur dan beri kekuatan untuk beribadah. - Bersedia Lebih Awal Secara Rohani & Jasmani
Rejab dan Syaaban adalah medan latihan sebelum Ramadan. Kalau mula dari Rejab, insyaAllah kita lebih bersedia bukan hanya fizikal, tetapi juga hati.

Rejab adalah bulan menanam,
Syaaban adalah bulan menyiram,
dan Ramadan adalah bulan menuai.
Persiapan Menuju Ramadan Dari Sekarang
Berikut beberapa amalan dan langkah awal yang boleh dimulakan seawal Rejab:
✅ Banyakkan istighfar dan bertaubat
✅ Berlatih puasa sunat Isnin & Khamis
✅ Biasakan solat sunat (qiyamullail dan duha)
✅ Kurangkan melakukan perkara lagha (sia-sia)
✅ Mulakan tabung Ramadan simpan untuk sedekah dan iftar
✅ Baca tafsir atau ulang hafazan al-Quran
Ramai yang hanya mula ‘bersedia’ bila Ramadan dah sampai. Tapi sahabat Nabi SAW dulu bersedia sejak bulan Rejab lagi.
Mulakan dengan doa teruskan dengan amal. Moga Allah pilih kita untuk sampai ke Ramadan kali ini dalam keadaan dosa diampunkan, hati yang bersih, dan semangat yang tinggi untuk beribadah.

