Pendidikan merupakan kunci utama dalam membentuk masa depan anak-anak yang lebih cerah apabila ia membuka peluang dalam meningkatkan kualiti kehidupan selain membantu individu berkembang dari aspek intelektual dan emosi.
Namun begitu, bagi mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, pendidikan berkualiti dianggap sebagai satu kemewahan memandangkan duit yang mereka ada hanya cukup-cukup untuk membeli makanan dan barangan keperluan.
Akibatnya, anak-anak mereka tercicir daripada pendidikan, sekali gus mengakibatkan kitaran kemiskinan terus berulang.
Gandingan Al-Quran dan kemahiran
Menyedari keperluan ini, Yayasan Ikhlas melaksanakan inisiatif membina sebuah pusat tahfiz yang disertakan pembelajaran kemahiran di Kampung Bantayan, di Semporna, Sabah.
Dijenamakan sebagai Tahfiz TVET, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Bilal Jailani berkata,
inisiatif itu adalah sebagai kesinambungan kepada usaha-usaha menawarkan tempat pembelajaran fardhu ain dan membaca, menulis dan mengira (3M) yang dijalankan oleh Yayasan Ikhlas di Sabah.
Menurut Bilal yang juga Ketua Projek berkenaan, objektif utama pembinaan Tahfiz TVET itu adalah melahirkan lebih amai Hafiz dalam kalangan anak tempatan yang berkemahiran teknikal supaya dapat meningkatkan lagi peluang pekerjaan untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat terutama di kawasan pulau dan pedalaman Semporna.
“Perancangan kita adalah membina satu bangunan dua tingkat yang ada tiga hingga empat kelas disertakan asrama untuk 100 murid.
“Ia juga akan dilengkapi dewan serta fasiliti sukan seperti gelanggang futsal dan badminton untuk murid dan kakitangan di sini,” katanya kepada TV Pertiwi.
Bilal berkata, projek yang dianggarkan bernilai RM2 juta itu dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan kerja-kerja pembersihan sudah pun dilakukan sejak Januari lepas.
Jelas beliau, pemilihan lokasi Tahfiz TVET di Kampung Bantayan itu dibuat selepas pihak Yayasan Ikhlas ditawarkan sebidang tanah seluas 1 ekar yang diwakafkan seorang penduduk berhati mulia.
Tambah beliau, Tahfiz TVET itu akan diuruskan oleh anak tempatan yang dilatih menerusi akademi pendidik Yayasan Ikhlas manakala di peringkat pembelajaran kemahiran pula, yayasan itu akan bekerjasama dengan kolej-kolej kemahiran kerajaan untuk mendapatkan khidmat pakar sebagai tenaga pengajar.
“Tahfiz TVET ini adalah kesinambungan kepada projek-projek Yayasan Ikhlas membantu kanak-kanak tiada dokumen yang mana kebanyakan daripada mereka tergolong sebagai asnaf.
“Pada 2021, Yayasan Ikhlas telah membina Pusat Pembelajaran Islam Al-Huda di Kampung Pekan 2 yang menawarkan pembelajaran kepada 350 murid yang menetap di kampung berkenaan.
“Usaha ini diteruskan pada tahun berikutnya apabila kami membina sebuah lagi Pusat Pembelajaran Al-Huda di Kuala Bibang yang memanfaatkan lebih 80 kanak-kanak dan remaja,” tambahnya.
Tahfiz TVET tawar pendidikan lebih komprehensif
Dalam pada itu, Penasihat Yayasan Ikhlas Sabah, Zaidi Mohamad Jalil berkata, pembinaan sebuah pusat pendidikan bersifat komprehensif adalah keputusan tepat yang diyakini mampu memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya melibatkan komuniti asnaf dan orang tanpa dokumen (OTD).
Zaidi yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan selama hampir 20 tahun berkata, pembinaan konsep Tahfiz TVET ini bukan sahaja akan memberikan pendidikan dari aspek agama tetapi juga menawarkan kemahiran kepada anak-anak supaya mereka akan menjadi lebih relevan dalam dunia pekerjaan.
Katanya, ini akan memudahkan mereka untuk mencari sumber pendapatan yang lebih tinggi pada masa hadapan.
“Saya Nampak manfaat itu juga kepada pelajar tetapi impak dan manfaatnya akan dirasai oleh masyarakat sekeliling.
“Kita yakin dan percaya jika diberikan ilmu Al-Quran dan kemahiran, anak-anak ini bukan sahaja mampu membangunkan nilai kemanusiaan mereka bahkan akan mengangkat dan merubah status sosial ekonomi mereka,” ujarnya.
Sumbangan Dunia dan Akhirat
Bagi pewakaf yang juga penduduk Kampung Bantayan, Ab Taib Talib, beliau terbuka hati untuk mewakafkan tanahnya itu bagi pembinaan Pusat Tahfiz berkenaan adalah sebagai sumbangan dunia dan akhirat.
Beliau mendoakan bahawa sumbangannya itu akan dimanfaatkan masyarakat setempat untuk mencari ilmu supaya dapat membawa kebaikan kepada komuniti di situ.
“Saya terbuka hati untuk wakafkan tanah ini untuk bukan sekadar untuk kepentingan dunia tetapi juga di akhirat.
“Semoga ia mendapat manfaat. Pembelajaran ilmu tiada penghujung, jadi dengan adanya sekolah Tahfiz ini, Insyallah kita imarahkanllah,” kata beliau.