Ramai nak tahu sebenarnya apa itu sedekah subuh?
Sadaqah atau sedekah merujuk kepada amalan memberi kepada mereka yang memerlukan dengan niat yang suci untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.
Dalam Islam ia adalah tindakan memberi tanpa mengharapkan ganjaran balik dan mengharapkan keredhaan Allah swt semata-mata.
Manakala maksud Sedekah Subuh adalah amalan memberi yang diamalkan setiap pagi selepas solat subuh dan sebelum habisnya waktu solat subuh.
Amalan mulia ini mengajar kita untuk berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan sebagai bentuk kemurahan hati dan kepedulian kita.
Melalui Sedekah Subuh, kita dapat memulakan hari dengan amalan baik dan menyumbang kepada kebaikan sosial.
Jadi Ini Adalah 7 Janji Manfaat Sedekah Subuh Menurut Al-Quran dan Hadis
1. Mendapat Doa Khusus 2 Malaikat Setiap Pagi
Doa dari malaikat itu adalah doa yang mustajab dan mendapatkan doa tersebut adalah sesuatu yang diidamkan oleh kebanyakan orang Islam.
Hadis sahih daripada Abu Hurairah radhiAllahu ‘anhu, bahawa Nabi ﷺ bersabda, “Ketika hamba berada pada setiap pagi, ada dua malaikat yang turun dan berdoa, “Ya Allah berikanlah ganti pada yang gemar berinfak (mencari nafkah, sedekah).”
Oleh itu, sentiasalah mencari keredhaan Allah dan melaksanakan amalan yang diredhai oleh-Nya. Malaikat akan sentiasa melaksanakan tugas mereka, dan doa mereka adalah satu bentuk rahmat dan perlindungan dari Allah.
2. Mencegah Dari Berlakunya Kematian Yang Buruk
Hebatnya sedekah mampu menjadi perisai seseorang dari bencana dan keburukan, termasuk kematian yang buruk.
“Sesungguhnya sedekah orang muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk (su’ul khotimah), Allah akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri“. (HR. Tabrani).
Penting untuk diingatkan bahwa sedekah bukanlah jaminan mutlak untuk menghindari kematian yang buruk, kerana itu adalah ketentuan Allah SWT. Namun, memberikan sedekah dan menjalani hidup sesuai dengan ajaran Islam adalah cara untuk mendekati perlindungan dari kematian yang buruk.
3. Menghapus Dosa-Dosa Lampau
Dosa dapat dihapuskan melalui amal-amal baik seperti sedekah, doa, puasa, dan tindakan baik lainnya. Sedekah juga dianggap sebagai bentuk penebusan dan pembersihan jiwa, serta sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah swt.
Baginda S.A.W bersabda yang bermaksud: “Sedekah itu dapat menghapus dosa sebagaimana air itu memadamkan api.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi)
Sedekah yang ikhlas juga dapat membersihkan hati dan memperoleh rahmat Allah.
4. Merupakan Pencen Akhirat Di Dalam Kubur
Pencen di sini bukanlah wang ringgit seperti yang kita faham. Tetapi sedekah merupakan amalan yang pahalanya berpanjangan sehingga meninggal dunia.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: “Apabila anak cucu Adam itu mati, maka terputuslah semua amalnya, kecuali tiga perkara iaitu: sedekah jariah, anak yang soleh yang memohonkan ampunan untuknya (ibu dan bapanya) dan ilmu yang berguna setelahnya.”
Selagi mana sedekah yang diberikan memberi manfaat kepada penerima, selama itulah pahala terus berterusan mengalir, insyaAllah.
5. Mengubati Penyakit Kronik
Banyak kes penyakit kronik yang tidak mampu diubati di hospital tetapi dengan izin Allah penyakit tersebut pulih apabila pesakit tersebut memberikan sedekah dengan niat kerana Allah SWT semata-mata.
Aswad bin Yazid meriwayatkan bahawa Abdullah berkata : Rasulullah SAW bersabda maksudnya : “Ubatilah sakit kamu dengan bersedekah, perliharalah harta kamu dengan berzakat dan hindarilah bala dengan berdoa.” (Hadis Riwayat Baihaqi)
6. Memanjangkan Umur Dalam Ketaatan
Janji Nabi SAW dalam bersedekah begitu banyak termasuklah berkaitan dengan keberkatan umur sesorang.
“Sesungguhnya sedekahnya orang Muslim itu dapat menambah umurnya, dapat mencegah kematian yang buruk, Allah akan menghilangkan darinya sifat sombong, kefakiran dan sifat bangga pada diri sendiri.” (Hadis Riwayat Thabrani)
7. Menggandakan Rezeki 10 Hingga 700 Kali Ganda
Banyak janji Allah dalam al-Quran iaitu sesiapa yang bersedekah di jalan Allah, Dia akan ganti semula dengan ganjaran paling sedikit 10 kali ganda pahala manakala paling banyak adalah 700 kali ganda.
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah Al-Baqarah ayat 261)
Sebagai penutup berkaitan sedekah subuh, Rasulullah S.A.W bersabda: “Bersegeralah untuk bersedekah. Kerana musibah dan bencana tidak boleh mendahului sedekah.”
Dah sedekah hari ini? Mula sekarang di sini.