
Ramai yang semangat nak buat ibadah korban, Alhamdulillah! Tapi tak ramai tahu, ada beberapa pantang larang semasa buat korban yang wajib dielakkan supaya ibadah kita sah dan diberkati. Kalau silap langkah, pahala hilang, ibadah pun jadi sia-sia.
Jom semak 7 perkara penting yang ramai terlepas pandang.
1. Potong Rambut atau Kuku (Sebelum Selesai Korban)
Sabda Nabi SAW:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Barangsiapa yang mempunyai binatang korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.
Riwayat Imam Muslim (1977)
2. Niat Korban Tidak Jelas
Korban perlu diniatkan untuk satu individu, bukan dikongsi tanpa sebab.
Contoh salah: Satu bahagian lembu diniatkan untuk “seluruh keluarga” tanpa pecahan jelas.
✅ Setiap bahagian korban wajib ada niat khusus untuk seorang penerima.
3. Sembelih Sebelum Solat Raya
Korban hanya sah selepas selesai solat Aidiladha. Kalau sembelih lebih awal ia dikira sembelihan biasa, bukan korban.
Sabda Nabi SAW:
إِنَّ أَوَّلَ مَا نَبْدَأُ بِهِ فِي يَوْمِنَا هَذَا نُصَلِّي ثُمَّ نَرْجِعُ فَنَنْحَرُ فَمَنْ فَعَلَ ذَلِكَ فَقَدْ أَصَابَ سُنَّتَنَا وَمَنْ ذَبَحَ فَإِنَّمَا هُوَ لَحْمٌ قَدَّمَهُ لأَهْلِهِ لَيْسَ مِنَ النُّسُكِ فِي شَىْءٍ
Perkara pertama yang kami mulakan pada hari ini (hari raya) ialah kami mendirikan solat (sunat hari raya). Kemudian, kami pulang dan menyembelih korban. Oleh itu, sesiapa yang melakukan perkara tersebut maka, dia telah melaksanakan sunnah kami. Sesiapa telah menyembelih sebelum itu, maka ia adalah daging untuk ahli keluarganya bukan untuk ibadah korban sedikit pun.
Riwayat al-Bukhari (5545) dan Muslim (1961)
4. Haiwan Tidak Cukup Syarat
Syarat sah haiwan korban:
- Haiwan ternakan sahaja
- Sihat & bebas daripada sebarang penyakit
- Tidak cacat
- Minimum umur haiwan ternakan yang dibenarkan untuk korban
- Unta – 5 tahun masuk tahun keenam
- Lembu/Kerbau – 2 tahun masuk tahun ketiga
- Kambing – 2 tahun masuk tahun ketiga
- Biri-biri – 1 tahun masuk tahun kedua ATAU telah bersalin gigi hadapan
Baca artikel penuh: Ibadah Korban: Cara Perlaksanaan, Niat, Syarat, Perkara Sunat, Pembahagian Daging
5. Jual Daging Korban
Daging korban – wajib diagih atau dimakan, bukan dijual.
وَمَذْهَبُنَا أَنَّهُ لَا يَجُوزُ بَيْعُ جِلْدِ الْهَدْيِ وَلَا الأضحية ولا شيء من أجزائهما
Disisi Mazhab kami adalah dilarang untuk menjual kulit binatang korban, daging binatang korban dan apa-apa bahagian daripadanya.
Rujuk Kitab al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 9/65
6. Sebut Nama Selain Allah Ketika Menyembelih
Korban hanya sah jika disebut nama Allah. Jika niat atau lafaz lain disebut (contoh: tok, datuk), korban jadi tidak sah.
Firman Allah SWT.
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaanNya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.
Al-Haj : 34
7. Agih Daging Dengan Riak atau Menunjuk
Sedekah daging korban sepatutnya ikhlas. Jangan guna peluang ni untuk tayang kemewahan atau mencari pujian.
- Niat yang betul bagi seorang mukmin itu amat penting dalam melaksanakan sesuatu perkara agar setiap yang dilakukan itu mendapat ganjaran di sisi Allah SWT.
- Kadang-kandang amalan kita juga boleh berlaku riak, ujub dan sifat-sifat dicela yang lain. Untuk itu, kita harus berjaga-jaga dengan setiap amalan kita agar terhindar daripada sifat-sifat yang dicela tersebut.
Sabda Nabi SAW:
مَنْ سَمَّعَ سَمَّعَ اللَّهُ بِهِ، وَمَنْ يُرَائِي يُرَائِي اللَّهُ بِهِ
Barangsiapa yang beramal kerana sum’ah (membuat sesuatu agar orang mendengarnya) maka Allah SWT akan menjadikannya (amalan) sebagai sum’ah dan barangsiapa yang beramal kerana riyak (membuat sesuatu amalan agar orang bercakap mengenainya) maka Allah SWT menjadikannya (amalan) sebagai riyak.
Riwayat al-Bukhari (6499)
Korban Bukan Sekadar Sembelih
Pantang larang semasa buat korban ni bukan remeh, ia menentukan sah atau tidaknya ibadah kita.
✅ Jaga adab
✅ Elak larangan
✅ Buat dengan ilmu & ikhlas
Semoga ibadah korban kita diterima dan menjadi bukti ketaatan di akhirat nanti. Insyaa Allah.