Article

Mulut Berbau Ketika Puasa? Cara Menjaga Kesihatan Gigi dan Mulut Sepanjang Ramadan

Mulut Berbau Ketika Puasa? Cara Menjaga Kesihatan Gigi dan Mulut Sepanjang Ramadan

“Kenapa mulut cepat berbau bila berpuasa?”

Soalan ini sering timbul setiap kali tibanya Ramadan. Ramai yang beranggapan bau mulut ketika berpuasa berpunca daripada cara memberus gigi yang tidak betul. Namun sebenarnya, bau mulut boleh disebabkan oleh beberapa faktor seperti pengumpulan plak bakteria pada gigi dan gusi, penyakit gusi yang tidak dirawat, serta keadaan mulut yang menjadi lebih kering sepanjang tempoh berpuasa.

Dalam kesibukan menunaikan ibadah serta menyesuaikan diri dengan rutin harian yang berubah, kesihatan gigi dan mulut kadangkala terlepas pandang. Sedangkan dalam Islam, kebersihan merupakan sebahagian daripada tuntutan agama. Rasulullah SAW juga sangat menekankan penjagaan kebersihan mulut melalui amalan bersugi.

Sabda Nabi SAW:

لَوْلاَ أَنْ أَشُقَّ عَلَى أُمَّتِي أَوْ عَلَى النَّاسِ لَأَمَرْتُهُمْ بِالسِّوَاكِ مَعَ كُلِّ صَلاَةٍ

“Jika tidak kerana bimbangkan membebankan umatku ataupun manusia, nescaya akan aku perintahkan mereka bersugi setiap kali waktu solat.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Mengapa Mulut Mudah Berbau Ketika Puasa?

Semasa berpuasa, penghasilan air liur dalam mulut berkurangan kerana kita tidak makan atau minum dalam tempoh yang panjang. Air liur memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan mulut kerana ia membantu membersihkan rongga mulut, meneutralkan asid serta mengawal pertumbuhan bakteria.

Apabila aliran air liur berkurangan, keadaan mulut menjadi lebih kering dan bakteria lebih mudah membiak. Bakteria anaerob dalam mulut akan memecahkan protein daripada sisa makanan, sel mati dan plak bakteria, lalu menghasilkan sebatian sulfur meruap (volatile sulfur compounds) yang menjadi punca utama bau mulut atau halitosis.

Selain itu, penyakit gusi seperti gingivitis dan periodontitis juga boleh menyumbang kepada bau mulut yang berpanjangan. Keradangan pada gusi menyebabkan pengumpulan bakteria di kawasan poket gusi, yang seterusnya menghasilkan bahan berbau.

Keadaan ini turut disebut dalam hadis Nabi SAW:

لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ المِسْكِ

“Bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi.”
Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Walaupun keadaan ini adalah normal bagi orang yang berpuasa, penjagaan mulut yang baik tetap penting bagi memastikan keselesaan diri serta orang di sekeliling.

cara menjaga kesihatan gigi dan mulut ketika puasa bagi mengelakkan bau mulut sepanjang Ramadan
Menjaga kesihatan gigi dan mulut ketika berpuasa penting untuk mengelakkan masalah bau mulut sepanjang Ramadan.

Rutin Penjagaan Mulut Sepanjang Ramadan

Beberapa amalan mudah boleh membantu memastikan kesihatan mulut kekal terjaga sepanjang Ramadan.

1. Memberus Gigi

Sekurang-kurangnya dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida, terutamanya selepas bersahur dan sebelum tidur. Memberus gigi selepas sahur sangat penting untuk menyingkirkan plak bakteria (biofilm) pada permukaan gigi dan di sepanjang garis gusi, yang merupakan punca utama kerosakan gigi serta penyakit gusi.

2. Penggunaan Flos Gigi

Selain itu, penggunaan flos gigi juga digalakkan bagi membersihkan plak bakteria yang terkumpul di celah gigi yang tidak dapat dicapai oleh berus gigi. Kawasan ini sering menjadi tempat pembiakan bakteria yang boleh menyebabkan keradangan gusi jika tidak dibersihkan dengan baik.

3. Penggunaan Cecair Kumur

Penggunaan cecair kumur pula boleh membantu mengurangkan jumlah bakteria dalam rongga mulut serta memberi kesegaran nafas. Dalam situasi tertentu seperti selepas rawatan penyakit gusi, doktor pergigian mungkin akan menyarankan penggunaan ubat kumur antibakteria bagi membantu mengawal bakteria dan mempercepatkan penyembuhan. Walau bagaimanapun, pastikan ia tidak ditelan secara sengaja kerana perbuatan tersebut boleh membatalkan puasa.

4. Membersihkan Lidah

Selain gigi, kebersihan lidah juga perlu diberi perhatian. Permukaan lidah mempunyai struktur seperti papila yang boleh menjadi tempat pengumpulan bakteria. Bakteria di kawasan ini juga menghasilkan sebatian sulfur yang menyumbang kepada bau mulut. Oleh itu, lidah digalakkan untuk dibersihkan setiap kali selepas memberus gigi.

Rawatan Pergigian Ketika Puasa

Masih ramai yang beranggapan bahawa rawatan pergigian ketika berpuasa boleh membatalkan puasa. Sebenarnya, kebanyakan rawatan pergigian dibenarkan selagi pesakit tidak menelan air atau bahan rawatan secara sengaja.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam buku Garis Panduan Berpuasa Bagi Pesakit menyatakan bahawa prosedur seperti tampalan gigi, cabutan gigi dan pembersihan karang gigi tidak membatalkan puasa dengan syarat pesakit tidak menelan bahan rawatan semasa prosedur dijalankan.

Oleh itu, jika anda mengalami sakit gigi, gusi berdarah atau masalah kesihatan mulut yang lain, tidak perlu menangguhkan rawatan hanya kerana sedang berpuasa.

Penutup

Kesihatan gigi dan mulut tidak seharusnya diabaikan walaupun sedang berpuasa. Dengan penjagaan yang betul dan konsisten, pengumpulan plak bakteria serta penyakit gusi dapat dicegah, sekali gus membantu mengawal masalah bau mulut.

Senyuman yang sihat bukan sahaja meningkatkan keyakinan diri, malah membantu kita menjalani Ramadan dengan lebih selesa dan penuh ketenangan.

Dr Yuliana Binti Ayob
Pakar Pergigian (Periodontik)

You may interested in other post:

“Kenapa mulut cepat berbau bila berpuasa?” Soalan ini sering timbul setiap kali tibanya Ramadan. Ramai yang beranggapan bau mulut ketika berpuasa berpunca daripada cara memberus gigi yang tidak betul. Namun… [more]

Apabila Ramadan menghampiri penghujungnya, umat Islam memasuki fasa yang paling istimewa dalam bulan yang penuh keberkatan ini iaitu 10 malam terakhir Ramadan. Inilah waktu di mana Rasulullah SAW meningkatkan ibadah… [more]

Tanggal 17 Ramaḍan menandakan sebuah peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Ini dijelaskan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:… [more]

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia adalah sebuah ‘madrasah’ spiritual yang melatih jiwa untuk kembali kepada fitrah yang suci. Di antara ribuan amal ibadah yang ditawarkan, sedekah… [more]

KUALA LUMPUR, 13 Februari 2026 – Yayasan Ikhlas terus membuktikan komitmen dan kecekapan operasi di lapangan apabila dinobatkan sebagai organisasi paling aktif dalam kalangan 60 pertubuhan Rakan NADMA bagi tempoh… [more]

Di pedalaman Kg Kilugus, sebuah Sekolah Agama Rakyat telah berjaya dibina menjadi realiti. Bukan sekadar bangunan, tetapi lambang hasrat, perpaduan dan pemberdayaan komuniti. Projek ini menjadi bukti bahawa bila sesuatu… [more]