Pada 18 Julai 2025 yang lalu, satu lagi episod penuh makna telah terlakar dalam diari kemanusiaan Yayasan Ikhlas melalui Misi Asnaf Jalanan Bank Muamalat. Bertempat di kawasan tumpuan warga marginal di Chow Kit, program ini berjaya mengumpulkan sukarelawan, penyumbang, dan komuniti setempat dalam suasana yang penuh kasih sayang dan semangat memberi.
Kerjasama Bank Muamalat & Yayasan Ikhlas

Kali ini, Bank Muamalat Malaysia Berhad tampil sebagai rakan kolaborasi utama. Turut hadir ke lokasi ialah wakil Bank Muamalat, Tuan Haji Zahiruddin, yang menyampaikan sesi motivasi kepada golongan dewasa menyentuh aspek kehidupan, keinsafan dan harapan baru.
Sesi Kanak-Kanak yang Ceria

Tidak dilupakan, sesi khas untuk kanak-kanak dipenuhi dengan pelbagai aktiviti interaktif, permainan dan tazkirah ringan yang dibimbing oleh para sukarelawan. Senyuman anak-anak jalanan dan remaja ini menjadi saksi betapa sedikit perhatian mampu membawa kegembiraan yang besar.
Agihan Pek & Hadiah

Di akhir program, pihak Bank Muamalat turut menyumbangkan:
- Hadiah khas untuk kanak-kanak dan remaja
- Pek Ikhlas berisi keperluan asas untuk golongan dewasa
Kesemua ini merupakan hasil sumbangan ikhlas warga kerja Bank Muamalat yang dikumpulkan sempena program CSR mereka.
Suasana Penuh Kemanusiaan
Apa yang menjadikan Misi Asnaf Jalanan kali ini lebih istimewa adalah jumlah kehadiran yang luar biasa membuktikan kepercayaan dan sokongan berterusan masyarakat terhadap usaha kemanusiaan ini.

Senyuman, doa, dan ucapan terima kasih daripada penerima adalah hadiah paling bermakna buat semua yang terlibat.
Terima kasih Bank Muamalat atas keprihatinan yang dizahirkan. Moga kerjasama ini terus menjadi inspirasi buat banyak pihak untuk sama-sama menyantuni golongan yang memerlukan.
Untuk maklumat lanjut tentang program seperti ini, layari asnafjalanan.com

