Hadirkan Harapan, Ubah Kehidupan Bersama Asnaf Jalanan
Siri Misi Asnaf Jalanan untuk tahun 2024 sudah melabuhkan tirainya dengan program terakhir bersama komuniti Chow Kit ini memberi makna dan harapan kepada mereka. Sebanyak 15 keluarga bersama 26 kanak-kanak dibawa ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan objektif memberi peluang kepada mereka untuk mempelajari perkara baru dan bermimpi lebih besar sebelum melangkah ke tahun 2024.
Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan adalah Campus Tour di UIAM di mana anak-anak ini dibawa melawat bangunan di dalam universiti serta blok-blok fakulti. Jelas terpancar di wajah anak-anak ini keceriaan dan keterujaan apabila mereka mula dibawa melawat perpustakaan Dar Al-Hikmah. Siapa tahu, mungkin ada yang akan menjejak kaki ke sana suatu hari nanti?
Seterusnya, anak-anak ini menyertai aktiviti Skill Building dan Goal Setting yang mana mereka didedahkan dengan latihan kemahiran asas dan penetapan impian serta cara untuk mencapainya. Sementara itu, aktiviti Parenting Talk iaitu sesi motivasi untuk ibu bapa asnaf dalam mendepani cabaran dan liku membesarkan anak-anak di dalam persekitaran jalanan.
Kisah Kak Yam yang Menyentuh Hati
Kak Yam, salah seorang peserta, berkongsi kisah yang cukup meruntun jiwa. Sebagai ibu kepada beberapa anak, dengan pendapatan hanya RM900 sebulan, beliau berusaha keras menyara keluarga. “Suami akak ada sakit jantung dan dah dua kali jalani pembedahan. Akak seorang saja bekerja. Tapi akak harap suatu hari nanti anak-anak dapat sambung belajar dan ubah kesusahan kami,” katanya sambil mengesat air mata.
Yayasan Ikhlas: Rakan Perubahan Anda
Dengan sokongan 36 sukarelawan termasuklah pelajar UIAM sendiri, program ini bukan sahaja mencipta pengalaman baru, tetapi juga membuka harapan untuk masa depan lebih cerah buat keluarga asnaf seperti Kak Yam.
Kami percaya, setiap senyuman dan harapan kecil hari ini mampu membawa perubahan besar esok hari.Semua insan mempunyai peluang yang sama untuk membina kebahagian mereka sendiri.
Terima kasih semua di atas sokongan yang diberi dalam menjayakan misi Asnaf Jalanan sepanjang 2024.
Anda Juga Boleh Membantu
Mari bersama Yayasan Ikhlas membawa lebih banyak sinar harapan kepada keluarga asnaf.