Salah satu episod perjuangan menuntut kemerdekaan pada 1940an – 1950an adalah kejayaan penduduk negara ini menolak gagasan Malayan Union 1946.
Dalam catatan sejarah, seramai 10,000 orang berhimpun di Kota Bharu semasa utusan khas Kerajaan British, Harold MacMicheal datang mendapatkan tanda tangan sultan. Manakala di Alor Setar, 50,000 orang berhimpun menyatakan bantahan. Kongres pertubuhan diadakan. Akhbar-akbar Melayu juga membantah keras, begitu jugalah para cendekiawan seperti Zaaba, Nik Ahmad Kamil dan Dato Onn Jaafar.
Akhirnya, terkuburlah Malayan Union 1946, dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu 1948.
Membayangkan ‘vibe’ ketika itu, betapa berkobarnya semangat pertahan perjuangan bangsa ini. Pastinya setiap individu di peringkat akar umbi dipenuhi rasa tanggung jawab terhadap tanah air, bangsa dan agama.
Timbul persoalan, adakah semangat tersebut masih wujud di akar umbi kini? Adakah setiap warga faham tanggung jawabnya kepada tanah air? Adakah rakyat kita memiliki perjuangan?
Apabila seseorang tidak memiliki perjuangan, hidupnya tidak lagi bermakna, bagai melukut di tepi gantang. Maka, ukurlah semangat tersebut di komuniti anda.
Saya bawakan beberapa data untuk rujukan bersama. Indeks Belia Malaysia menunjukkan tahap patriotisme belia berada di peringkat “Sederhana” dan “Kurang Memuaskan”, iaitu 60.16 (tahun 2015), 61.58 (2016), 59.48 (2017), 60.24 (2019), 61.68 (2020), 65.40 (2021) dan 63.37 (2022). Kesemua markah ini adalah per 100.00. Menurut kajian Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES) ini, yang dimaksudkan dengan patriotisme adalah perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.
Manakala kajian UKM pada 2014 bertajuk Kesedaran Generasi Muda Terhadap Patriotisme dan Perpaduan Nasional di Malaysia, menyimpulkan, “Daripada 10 orang golongan muda, boleh dikatakan hampir 6 orang mempunyai tahap kesedaran perpaduan dan patriotisme yang rendah”.
Menginsafi data-data ini, saya ingin membincangkan action plan dalam konteks komuniti.
Gambaran komuniti yang patriotik bukan pada kibaran Jalur Gemilang, tapi pada usaha menjadikan komuniti kita aktif, prihatin dan berdaya tahan (resilient). Sibuk mana pun anda dengan kerjaya, pacakkanlah kaki anda di surau, mesyuarat agung dan aktiviti kejiranan. Suburkan aura positif melalui buah tangan, ziarah rumah ke rumah dan ucapan salam di lif.
Ada kisah di kejiranan saya; ketika keadaan lif sibuk jam 6.30pm, sebilangan orang menekan punat lif untuk naik ke atas; Tingkat 6, 7, 8 dan 9. Tiba-tiba, seseorang membatalkan punat Tingkat 6, lalu keluar di Tingkat 7, kemudian turun tangga satu tingkat. Kenapa begitu? Hanya kerana hasrat hatinya mahu jirannya segera sampai ke rumah, tanpa perlu menunggu lama.
Di kejiranan, seorang jiran mesti ambil tanggung jawab jaga anak jiran lain. Jika anak jiran tak pandai mengaji, kita usahakan kelas iqra. Jika anak jiran tertinggal dalam pelajaran, kita tawarkan bimbingan dalam menyiapkan homework. Kebanyakan anak muda hari ini sibuk cari pendapatan, hingga tak sempat pantau anak-anak mereka.
Selain itu, patriotisme komuniti juga bergantung kepada sejauh mana mereka mengenal diri mereka; sejarahnya, identitinya dan hala tujunya. Contoh soalan adalah, “Sebagai sebuah komuniti di Shah Alam, apakah sejarah gemilang Shah Alam?”. Lebih malang adalah apabila sejarah negeri pun kita tak tahu. Apabila kita buta tentang diri kita sendiri, kita akan menerima identiti yang dipaksakan kepada diri kita.
Sebagai Penutup, jika dahulu penduduk negara ini berjuang menentang Malayan Union, maka kita pada hari ini berjuang membangun komuniti. Komuniti adalah medan perubahan sebenar jati diri warga. Kerajaan boleh merangka pelbagai dasar, tapi perkara paling asas adalah keadaan sumber manusia di komuniti. Jika komuniti beterusan menghasilkan insan hebat, negara ini akan kuat, maju dan berdaulat. Ketika itulah kita mengecap erti sebenar kemerdekaan.
Ditulis oleh,
BILAL JAILANI
Pengurus Besar Yayasan Ikhlas
Tarikh: 31 Ogos 2024
Rujukan: