Updates

Kempen Kasih Ramadan santuni asnaf, menyemai kebahagiaan

Kempen Kasih Ramadan santuni asnaf, menyemai kebahagiaan

Menjelang Ramadan, ramai yang teruja untuk menyambutnya dengan juadah enak dan persiapan meriah bagi menantikan ketibaan Syawal.

Namun, bagi penduduk Kampung Lumanggas di Pulau Bait, Semporna, kedatangan bulan mulia ini bukan sekadar ujian menahan lapar dan dahaga tetapi juga ujian kesempitan hidup yang semakin mencengkam.

Tanpa hidangan istimewa atau pakaian baharu untuk dipakai ketika Hari Raya, penduduk di kampung itu bagaimanapun tidak mengeluh dan tetap berasa syukur.

Ramadan di Pulau: Antara Kesederhanaan dan Kesyukuran

Menceritakan pengalaman kehidupan di perkampungan atas air ini, Nurkani Mohamad Lamin akui suasana menyambut Ramadan di sini sangat jauh beza berbanding ketika dia menetap di Johor Bahru 9 tahun lepas.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata, kehidupan di pulau yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dari Pekan Semporna itu tidaklah semewah seperti hidup di tanah besar.

Faktor kewangan ditambah dengan jarak perjalanan yang jauh merentas laut untuk ke kawasan pekan, menjadikan cabaran besar bagi Nurkani dan keluarganya membeli barangan keperluan asas.

“Semasa bekerja dahulu, kami selalu ke Bazaar tiap petang bersama suami dan anak tetapi bila sudah menetap di sini, agak susah jika mahu ke pekan untuk membeli barangan.

“Kehidupan yang dahulu memang dirindui tetapi inilah hakikat kehidupan di pulau. Dulu ada gaji, kini tiada. Apa-apa pun kami reda,” katanya kepada TV Pertiwi.

Namun begitu, ada kalanya Nurkani berasa sedih apabila tidak berupaya untuk memenuhi segala permintaan anak-anaknya.

Nurkani berkata, pembelian baju raya baharu hanya akan diutamakan bagi anak-anaknya manakala dia dan suaminya akan memakai pakaian lama yang dibeli beberapa tahun lalu.

“Ada masa anak meminta pakaian baharu untuk Raya, lagi-lagi apabila melihat anak jiran beli baju baharu.

“Sebagai ibu, ada masa kita tidak boleh buat apa. Jadi, saya berasa sedih juga. Tetapi saya janji kepada anak-anak bahawa kami akan beli pakaian baharu atau makanan yang diidamkan sekiranya kami mempunyai duit lebih,”katanya.

Situasi tidak kurang beza bagi penduduk di Kampung Terusan Hujung yang terletak di Pulau Bum Bum.

Bagi penduduk di sini, menu telur direbus dengan santan menjadi antara juadah biasa yang dimakan bersama nasi ketika sahur, sekiranya tiada lauk lain untuk dihidangkan.

Namun, hidangan yang tidak seberapa mewah itu cukup untuk memastikan Rafiah Abdul Rashid bersama keluarganya menahan lapar sehingga waktu berbuka.

“Kadang-kadang masa berbuka, tiada apa-apa makanan baharu yang boleh dihidangkan. Jadi kami makan apa yang ada sahaja.

“Masa untuk sahur, terpaksa makan telur yang direbus dengan santan sekiranya tiada lauk. Tetapi ini sudah menjadi kebiasaan di sini,” katanya.

Dalam usaha memeriahkan suasana Ramadan bagi penduduk di kampung-kampung ini, Yayasan Ikhlas melaksanakan kempen Kasih Ramadan dengan menyantuni golongan memerlukan di sekitar Semporna.

Usaha ringankan beban keluarga asnaf

Pengurus Yayasan Ikhlas Sabah, Muhammad Fauzi Indra Bangsawan berkata, tujuan projek itu dilaksanakan bagi membantu meringankan beban keluarga asnaf. 

Beliau yang juga penyelaras projek berkenaan berkata, pihak Yayasan Ikhlas turut menyampaikan barangan keperluan asas kepada penduduk setempat, hasil sumbangan daripada pelbagai pihak.

“Tujuan di sebalik Kasih Ramadan adalah untuk membantu anak-anak asnaf di sekitar Semporna khususnya kerana majoriti penduduk di sini ramai yang memerlukan bantuan.

“Mereka ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Kadang-kadang ada yang terpaksa makan ubi kayu sahaja walaupun itu makanan ruji mereka.

“Tetapi bagi Yayasan Ikhlas, kita rasa peduli untuk bantu mereka supaya dapat keluar daripada kesusahan yang mereka hadapi,” katanya.

Menurut Muhammad Fauzi, pihak Yayasan Ikhlas mengalu-alukan kerjasama semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan kepada keluarga-keluarga asnaf ini.

Kata beliau, bulan Ramadan adalah masa yang sesuai untuk orang ramai bersatu membantu antara satu sama lain agar semua dapat meraikan bulan yang mulia ini.

“Orang ramai boleh menghubungi pihak Yayasan Ikhlas untuk bersama menyampaikan bantuan-bantuan ini kepada mereka yang memerlukannya.
Layari: https://kasihramadan.com

You may interested in other post:

Sedekah tidak hanya dilakukan oleh mereka yang memiliki banyak harta. Kadangkala, nilai sedekah bukan terletak pada jumlah yang diberikan, tetapi pada keikhlasan hati dan manfaat yang sampai kepada orang lain…. [more]

RHB Islamic memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan Tenaga Solar bersama Yayasan Ikhlas di Kampung Telinting, Papar, Sabah. Projek ini memberi manfaat kepada kira-kira 130 penduduk… [more]

Alhamdulillah, pada 20 Julai 2026, Yayasan Ikhlas telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama Borenos Fried Chicken yang berlangsung di Amazing Borneo Tours. Borenos Fried Chicken merupakan jenama makanan segera… [more]

SEMPORNA, 17 Julai 2026 – Para pelajar Pusat Pembelajaran Islam Al-Huda (PPIAH) Pekan 2 telah mengadakan lawatan pendidikan ke Perpustakaan Semporna bersempena dengan pelaksanaan Program Bulan Membaca PPIAH. Lawatan ini… [more]

Bencana alam, terutamanya banjir besar, tidak pernah memberikan amaran awal sebelum ia melanda. Ketika air mula naik secara mendadak dan arus deras mula mengancam keselamatan, kebanyakan daripada kita akan segera… [more]

Sebagai manusia, kita tidak pernah lari daripada menghadapi pelbagai ujian hidup. Ada tikanya kita berasa sesak dengan bebanan kerja, pening memikirkan urusan kewangan keluarga, atau sedang diuji dengan masalah kesihatan… [more]