Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia adalah sebuah ‘madrasah’ spiritual yang melatih jiwa untuk kembali kepada fitrah yang suci. Di antara ribuan amal ibadah yang ditawarkan, sedekah berdiri sebagai salah satu jambatan paling teguh yang menghubungkan seorang hamba dengan Tuhannya serta sesama manusia. Satu amalan yang sering kita amalkan tetapi kurang menghayati dengan baik kerana tidak mengetahui fadhilat sedekah ini.
Mungkin ini persoalan yang perlu kita tanyakan pada hari ini:
“Mengapa sedekah di bulan Ramadan terasa begitu istimewa? Mengapa pula keberkatan hidup kita seolah-olah melonjak berkali ganda apabila kita memberi di bulan ini?”

Berikut adalah kupasan mendalam mengenai 5 fadhilat sedekah di bulan Ramadan dan rahsia di sebalik limpahan keberkatan yang luar biasa:
1. Mencontohi Sifat Dermawan Rasulullah SAW
Baginda Nabi Muhammad SAW adalah insan yang paling pemurah di dunia. Namun, para sahabat meriwayatkan bahawa sifat pemurah Baginda akan memuncak apabila tibanya Ramadan. Digambarkan bahawa kedermawanan Baginda lebih pantas dan lebih luas manfaatnya daripada “angin yang bertiup kencang” (al-rih al-mursalah).
Hadis yang masyhur menceritakan berkaitan sifat dermawan Rasulullah S.A.W ini adalah daripada hadis dari Abdullah Ibn Abbas R.A. Beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدَ النَّاسِ، وَأَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ، حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ، وَكَانَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ، فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
“Adalah Nabi ﷺ seorang yang paling pemurah dan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan ketika Jibril AS bertemu dengannya. Adalah Jibril AS bertemu dengan Nabi ﷺ pada setiap malam pada bulan Ramadan untuk mengulangkaji Al-Quran dan kemudiannya Rasulullah ﷺ menjadi lebih pemurah daripada hembusan angin yang pantas.”
(Hadis Sahih, Muslim)
2. Sebaik-baik Sedekah Adalah Pada Bulan Ramadan
Ada sebuah hadis yang menceritakan berkaitan dengan dua perkara iaitu puasa yang paling afdal (selain Ramadan) dan bersedekah yang paling afdal. Di dalam hadis ini, Nabi Muhammad S.A.W memberikan gambaran bahawa wujud keberkatan yang luar biasa kepada individu-individu yang menyukai amal sunnah untuk dihidupkan. Keberkatan ini hanya wujud pada bulan-bulan tertentu.
Hadis ini diriwayatkan oleh Anas ibn Malik R.A:
سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ: شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ . قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ
“Nabi SAW pernah diajukan soalan, apakah puasa yang lebih utama selepas bulan Ramadan? Baginda menjawab : Syaaban kerana memuliakan Ramadan. Baginda ditanya lagi: Apakah sedekah yang afdal? Baginda menjawab: Sedekah di bulan Ramadan.“
(Hadis Dhoif, Imam Tirmizi)
Walaupun hadis ini berstatus dhoif (lemah), namun ianya tetap boleh diamalkan sebagai satu motivasi kepada individu yang ingin menggerakkan amal bersedekah dengan lebih gencar. Bahkan, terdapat hadis lain yang menceritakan berkaitan dengan fadhilat bersedekah di bulan Ramadan walaupun memberi makan kepada orang yang berbuka puasa.
3. Keberkatan Memberi Makan Orang Berbuka Puasa
Bagi individu yang gemar menjamu makan kepada orang yang berpuasa, terdapat sebuah hadis yang boleh dijadikan sebagai sandaran kepada amalan mereka.
Ianya diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid R.A:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
“Sesiapa yang memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangkan sedikit pun puasa orang yang berpuasa tersebut.“
(Hadis Sahid, Imam Tarmizi)
4. Mendapat Naungan di Hari Kebangkitan
Walaupun tiada hadis yang khusus membicarakan tentang fadhilat sedekah seseorang di bulan Ramadan. Tetapi terdapat hadis yang menceritakan tentang fadhilat sedekah yang menjadi naungan semasa hari kiamat.
Hadis ini diriwayatkan oleh Uqbah bin Amr R.A:
الرَّجلُ في ظلِّ صدقتِه حتَّى يُقضَى بين النَّاسِ
“Setiap orang akan berada dalam naungan sedekah yang pernah dikeluarkannya pada hari kiamat hingga nasibnya ditentukan bersama yang lainnya.“
(Hadis Sahih, Ibn Hibban)
5. Ketinggian Ganjaran Amalan Di Bulan Ramadan
Hadis ini perlu dilihat sebagai satu hadis yang sangat tinggi pelawaan Allah kepada hamba-Nya untuk beribadah. Hadis ini menceritakan berkaitan dengan bagaimana Allah memberikan ganjaran yang tinggi di bulan Ramadan. Ketinggian ini melebihi daripada amalan di bulan-bulan lain. Hadis ini merupakan hadis qudsi (makna dari Allah, lafaz dari Nabi Muhammad S.A.W).
Ianya diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:
كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إلى سَبْعمِئَة ضِعْفٍ، قالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ: إلَّا الصَّوْمَ، فإنَّه لي وَأَنَا أَجْزِي به، يَدَعُ شَهْوَتَهُ وَطَعَامَهُ مِن أَجْلِي لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ وَلَخُلُوفُ فيه أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ مِن رِيحِ المِسْكِ
“Setiap amal anak Adam adalah teruntuk baginya, kecuali puasa, karena ia adalah bagi-Ku, dan Akulah yang akan membalasnya. Maka demi Dzat yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, sungguh bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih wangi di sisi Allah daripada wanginya kasturi.”
(Hadis Sahih, Muslim)
Daripada kesemua hadis-hadis berkaitan fadhilat ini, wujud satu persoalan. Mengapa keberkatan ini wujud di bulan ramadan? Jawapannya adalah mudah. Ramadan adalah Sayyidul Syuhur (Penghulu Segala Bulan). Segala amalan yang dilakukan dalam waktu yang mulia akan mendapat impak yang mulia.
Di dalam bulan ini, pelbagai peristiwa dan syiar Islam wujud. Turunnya al-Quran, Perang Badar dan Perang Tabuk. Di dalam bulan ini juga Allah telah meletakkan keberkatan yang tinggi dengan menjadikan bulan ini sebagai bulan keampunan, ketaatan dan penghapus dosa.
Daripada kesemua fadhilat yang banyak ini, tiada alasan untuk kita untuk berlengah-lengah dalam mengejar keberkatan. Satu bulan yang hanya tiba sekali sahaja setahun. Bulan yang mengajar kita erti bersedekah dan mengejar kebaikan berlipat kali ganda.
Mari kita jadikan Ramadan kali ini sebagai momentum untuk melatih tangan yang memberi. Ingatlah, keberkatan itu bukan terletak pada apa yang kita simpan, tetapi pada apa yang kita kongsikan.
Semoga dengan sedikit sedekah yang kita hulurkan, Allah melimpahkan keberkatan yang meluas dalam kesihatan kita, keluarga kita, dan harta benda kita.
Shaikh Muhammad Afiq
Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR)

