Pagi adalah permulaan kepada perjalanan kita setiap hari. Sebelum fikiran dipenuhi dengan kerja, urusan keluarga dan pelbagai tanggungjawab, ada baiknya kita mengambil sedikit masa untuk mengingati Allah SWT.
Mengamalkan doa awal pagi bukan sahaja menjadi ruang untuk kita memohon pertolongan Allah SWT, malah mengingatkan diri bahawa setiap rezeki, perlindungan dan kemudahan yang kita nikmati datang dengan izin-Nya.
Berikut adalah 3 doa awal pagi yang boleh kita jadikan sebahagian daripada rutin harian.

1. Doa Memohon Ilmu Bermanfaat, Rezeki Yang Baik dan Amalan Diterima
Antara doa yang sangat baik dibaca pada waktu pagi ialah doa yang diriwayatkan daripada Ummu Salamah RA. Rasulullah SAW membacanya selepas selesai solat Subuh:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا ، وَرِزْقًا طَيِّبًا ، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Riwayat Ibn Majah (925), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (9930) dan Ahmad (26602)
Doa ini sangat dekat dengan kehidupan seharian kita. Kita bukan sekadar meminta rezeki, tetapi rezeki yang baik, ilmu yang memberi manfaat dan amalan yang diterima oleh Allah SWT.
2. Doa Memohon Perlindungan Pada Waktu Pagi
Kita tidak tahu apa yang akan berlaku sepanjang hari. Justeru, kita juga dianjurkan untuk memohon perlindungan daripada Allah SWT.
Antara zikir yang boleh diamalkan pada waktu pagi ialah:
بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ
Dengan nama Allah yang dengan nama-Nya, tidak ada satu pun yang dapat memberi kemudaratan di bumi mahupun di langit. Dia-lah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.
Dalam riwayat Abu Daud (4/323), zikir ini disebut untuk dibaca tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang.
3. Doa Ketika Keluar Rumah
Selepas selesai rutin pagi, ramai antara kita akan keluar menuju ke tempat kerja, menghantar anak ke sekolah, berniaga atau menyelesaikan pelbagai urusan.
Jika seseorang keluar rumah, lalu dia mengucapkan:
بِسْمِ اللَّهِ، تَوَكَّلْتُ عَلَى اللَّهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّهِ
Dengan nama Allah (aku keluar), aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah. Tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah.
At-Tirmidzi 3348
Maka dikatakan ketika itu: ‘Engkau akan diberi petunjuk, dicukupkan dan dilindungi’. Malah, Syaitan juga akan menjauh daripada mu. Syaitan yang lain akan menyatakan: ‘Bagaimana engkau ingin mengganggu seseorang yang telah mendapatkan petunjuk, dicukupkan dan dan diberikan perlindungan Allah S.W.T?’
Ringkas, tetapi mempunyai makna yang sangat besar. Kita keluar menjalani kehidupan dengan berusaha, sambil meletakkan pergantungan kepada Allah SWT.
Jadikan Doa Awal Pagi Sebagai Rutin
Kadang-kadang pagi kita bermula terlalu pantas.
Bangun tidur, capai telefon, semak mesej, bersiap dan terus memikirkan tugasan yang menunggu. Tanpa sedar, hati kita sudah dipenuhi dengan pelbagai perkara sebelum sempat mengambil masa untuk mengingati Allah SWT.
Cuba ubah sedikit rutin tersebut. Luangkan beberapa minit selepas Subuh untuk berzikir dan membaca doa awal pagi. Tidak perlu terlalu banyak sehingga akhirnya kita sendiri sukar untuk istiqamah.
Mulakan sedikit demi sedikit. Mohon kepada Allah SWT rezeki yang baik, perlindungan, kesejahteraan, keberkatan dan kemudahan dalam setiap urusan.
Semoga setiap pagi yang diberikan kepada kita menjadi peluang untuk melakukan lebih banyak kebaikan dan memberi manfaat kepada orang lain.



