Sumbangan masyarakat yang dikumpulkan akhirnya diterjemahkan kepada sesuatu yang memberi manfaat secara langsung kepada komuniti.
Alhamdulillah, Yayasan Ikhlas telah menyerahkan sebuah van jenazah kepada Surau Muhibbah Kajang, sekali gus menjadi van jenazah pertama yang disediakan menerusi usaha ini.
Surau Muhibbah merupakan pusat ibadah bagi komuniti Taman Muhibbah dan turut berperanan sebagai panel pengurusan jenazah Hospital Kajang. Kehadiran van ini diharapkan dapat membantu melancarkan urusan pengurusan serta penghantaran jenazah apabila diperlukan.

Hari Pertama, Urusan Dua Jenazah Terus Dibantu
Keperluan terhadap kemudahan van jenazah ini dapat dilihat sebaik sahaja ia tiba di Surau Muhibbah. Pada hari pertama van tersebut sampai, sebanyak dua jenazah telah diuruskan termasuk urusan penghantaran sehingga ke Kuala Krai, Kelantan.
Ia memperlihatkan bahawa sebuah van jenazah bukan sekadar sebuah kenderaan. Di saat sebuah keluarga sedang berhadapan dengan kehilangan insan tersayang, kemudahan seperti ini membantu memudahkan salah satu urusan yang perlu diselesaikan dengan segera.
Penyerahan Van Jenazah Kepada Surau Muhibbah
Penyerahan simbolik kunci telah dilakukan oleh Timbalan Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Saudara Syafiq Syahmi kepada Pengerusi Surau Muhibbah, Ustaz Mohd Zaki Deraman.
Majlis tersebut turut disaksikan oleh kariah Surau Muhibbah dan berlangsung bersempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul. Penyerahan ini menjadi satu lagi usaha Yayasan Ikhlas dalam menterjemahkan sumbangan masyarakat kepada kemudahan yang boleh dimanfaatkan secara berterusan oleh komuniti.

Sumbangan Anda Kini Menjadi Sebuah Van Jenazah
Sumbangan tuan puan telah Yayasan Ikhlas terjemahkan kepada sebuah van yang kini berkhidmat untuk masyarakat. Namun, usaha ini belum berakhir. Masih terdapat masjid dan surau lain yang memerlukan kemudahan van jenazah bagi membantu urusan komuniti masing-masing.

Infak Van Jenazah: Panjangkan Manfaat Kepada Lebih Ramai
Yayasan Ikhlas kini meneruskan usaha mengumpulkan sumbangan van jenazah untuk menyediakan kemudahan yang sama kepada beberapa lagi masjid dan surau yang memerlukan. Setiap sumbangan yang diberikan, kecil atau besar, apabila digabungkan bersama mampu menghasilkan sebuah kemudahan yang manfaatnya boleh dirasai oleh ramai keluarga.
Hari ini, sebuah van telah mula berkhidmat di Surau Muhibbah Kajang. Insya-Allah, dengan sokongan para penyumbang, lebih banyak komuniti dapat menerima manfaat yang sama.
Teruskan bersama dalam usaha Infak Van Jenazah Yayasan Ikhlas. Semoga setiap sumbangan yang diberikan menjadi amal kebajikan dan dipermudahkan segala urusan para penyumbang.

