Terbaru

Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas Kg. Kilugus: Dari Komuniti Untuk Komuniti

Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas Kg. Kilugus: Dari Komuniti Untuk Komuniti

Di pedalaman Kg Kilugus, sebuah Sekolah Agama Rakyat telah berjaya dibina menjadi realiti. Bukan sekadar bangunan, tetapi lambang hasrat, perpaduan dan pemberdayaan komuniti.

Projek ini menjadi bukti bahawa bila sesuatu usaha datang dari hati komuniti sendiri, hasilnya bukan saja memberi manfaat pendidikan tetapi juga memperkukuh jalinan kasih sayang penduduk kampung.

Bangunan Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas, Kg Kilugus, Kuala Penyu, Sabah
Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas, Kg. Kilugus kini memberi manfaat kepada anak-anak kampung dalam pendidikan agama

Kisah Bermula

Pada Disember 2022, Yayasan Ikhlas telah membuat lawatan ke kawasan ini. Pada awalnya, tanah yang dilawati dirancang untuk dijadikan sebagai tanah perkuburan.

Namun tatkala melihat realiti kehidupan anak-anak kampung, mereka terpaksa menempuh perjalanan sejauh 11 km untuk ke sekolah agama yang terdekat. Itu bukan perjalanan mudah, terutama bagi kanak-kanak dan keluarga yang kurang berkemampuan. Maka, dari situlah tercetusnya idea untuk membina Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas di Kg. Kilugus, Kuala Penyu, Sabah.

“Bagai Bulan Jatuh Ke Riba”

Idea pembinaan sekolah ini bukan sekadar diterima, malah disambut baik oleh pewakaf tanah tersebut. Keikhlasan pewakaf telah membuka jalan untuk merealisasikan hasrat bersama.

Yayasan Ikhlas kemudiannya bergerak mencari penaja untuk pembinaan sekolah ini dan “Bagai bulan jatuh ke riba”, Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) bersetuju menyokong inisiatif ini.

Kerjasama ini bukan sekadar tajaan biasa tetapi satu peluang besar untuk anak-anak Kg. Kilugus memiliki institusi pendidikan berdekatan rumah mereka sendiri.

lawatan ke kelas di Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas oleh wakil BPMB dan JHEAINS
Lawatan ke salah satu kelas di Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas oleh wakil BPMB, Yayasan Ikhlas dan JHEAINS

Perjalanan Projek

Projek ini dilaksanakan secara terancang dan berfasa:

  • Jun 2022: Pembinaan dimulakan
  • Februari 2023: Pembinaan siap sepenuhnya
  • Mac 2023: Pembelajaran rasmi bermula
  • Disember 2025: Diserahkan kepada JHEAINS

Dari Komuniti, Untuk Komuniti

Salah satu perkara yang benar‑benar menarik tentang projek ini adalah bagaimana ia dilaksanakan.

✨ Kontraktor berasal dari kampung itu sendiri. Bukan orang luar, tetapi mereka yang hidup bersama setiap hari.

✨ Penduduk kampung juga terlibat dalam pengurusan dan operasi harian sekolah setelah ia mula berfungsi.

Pendekatan ini bukan sahaja memberi peluang pekerjaan tetapi juga menanam rasa tanggungjawab, kasih sayang dan kebanggaan terhadap sekolah sendiri.

Itulah yang dimaksudkan dengan pepatah, “Dari komuniti untuk komuniti.”

penyerahan SAR Al-Ikhlas kepada JHEAINS
Majlis Penyerahan Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas, Kg. Kilugus kepada Pn Siti Hasnita Ag Hussin , Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan, JHEAINS diserah oleh Tuan Jeffrey bin Jainun, Regional Director Sabah SME Bank, Kumpulan BPMB. Turut bersama wakil Yayasan Ikhlas, Tuan Ir. Amran bin Wahidi, Ahli Lembaga Pemegang Amanah dan Ir. Hj Kamaruddin bin Kassim, Pengarah Bahagian Korporat

Penyerahan Kepada JHEAINS

Pada Disember 2025, Sekolah Agama Rakyat Al-Ikhlas, Kg. Kilugus, Kuala Penyu telah diserahkan kepada JHEAINS sebagai satu langkah penting dalam kesinambungan pengurusan pendidikan agama di negeri ini.

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) adalah badan yang amat berwibawa dan berkemahiran dalam mengurus pendidikan Islam dalam memastikan institusi ini terus berkembang, teratur, dan memberi manfaat besar kepada pelajar dan ibu bapa.

Ini adalah model pembangunan komuniti yang membina bukan sahaja infrastruktur tetapi juga jiwa, amal dan perpaduan.

Semoga kisah ini menjadi contoh kepada komuniti lain di seluruh negara, bahawa apabila semua pihak bekerjasama, kebaikan boleh terus berkembang dan dapat memberi manfaat jangka panjang.

You may interested in other post:

Semangat kesukarelawanan bukan hanya tentang menghulurkan sumbangan. Ada masanya, tenaga dan masa yang diberikan bersama-sama mampu membawa perubahan besar kepada sesebuah komuniti. Atas semangat itu, Yayasan Ikhlas bersama ON Semiconductor… [more]

Sedekah tidak hanya dilakukan oleh mereka yang memiliki banyak harta. Kadangkala, nilai sedekah bukan terletak pada jumlah yang diberikan, tetapi pada keikhlasan hati dan manfaat yang sampai kepada orang lain…. [more]

RHB Islamic memperuntukkan RM300,000 bagi melaksanakan Projek Pembangunan Sistem Air Bersih dan Tenaga Solar bersama Yayasan Ikhlas di Kampung Telinting, Papar, Sabah. Projek ini memberi manfaat kepada kira-kira 130 penduduk… [more]

Alhamdulillah, pada 20 Julai 2026, Yayasan Ikhlas telah mengadakan satu sesi perbincangan strategik bersama Borenos Fried Chicken yang berlangsung di Amazing Borneo Tours. Borenos Fried Chicken merupakan jenama makanan segera… [more]

SEMPORNA, 17 Julai 2026 – Para pelajar Pusat Pembelajaran Islam Al-Huda (PPIAH) Pekan 2 telah mengadakan lawatan pendidikan ke Perpustakaan Semporna bersempena dengan pelaksanaan Program Bulan Membaca PPIAH. Lawatan ini… [more]

Bencana alam, terutamanya banjir besar, tidak pernah memberikan amaran awal sebelum ia melanda. Ketika air mula naik secara mendadak dan arus deras mula mengancam keselamatan, kebanyakan daripada kita akan segera… [more]