Article

7 Amalan Yang Digalakkan Semasa Malam Turunnya Al-Quran

7 Amalan Yang Digalakkan Semasa Malam Turunnya Al-Quran

Tanggal 17 Ramaḍan menandakan sebuah peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Ini dijelaskan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:

كَانَ ابْتِدَاءُ الْوَحْيِ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلَّم يوم الِاثْنَيْنِ، لِسَبْعَ عَشْرَةَ لَيْلَةً خَلَتْ مِنْ رَمَضَانَ

“Permulaan wahyu bagi Rasulullah SAW pada hari Isnin bersamaan malam 17 dari bulan Ramadan.”

Peristiwa ini direkodkan secara jelas dalam sebuah hadith panjang riwayat Aishah RA yang direkodkan dalam kitab Sahih Imam al-Bukhari yang menceritakan detik-detik awal bagaimana Rasulullah SAW mendapat wahyu pertama daripada Jibril AS. Wahyu pertama ini diperolehi oleh baginda Rasulullah SAW semasa baginda beruzlah di Gua Hira. Selepas tiga kali pelukan Jibril AS kepada baginda, dibacakan kepadanya ayat-ayat ini sebagai wahyu pertama dari surah al-ʿAlaq ayat 1-5:

ٱقْرَأْ بِٱسْمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ. خَلَقَ ٱلْإِنسَـٰنَ مِنْ عَلَقٍ. ٱقْرَأْ وَرَبُّكَ ٱلْأَكْرَمُ . ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلْقَلَمِ
عَلَّمَ ٱلْإِنسَـٰنَ مَا لَمْ يَعْلَمْ

“Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku;”

7 amalan sempena Nuzul al-Quran pada 17 Ramadan seperti membaca al-Quran, bersedekah dan solat tarawih
Antara amalan yang boleh dilakukan sempena Nuzul al-Quran termasuk tilawah al-Quran, sedekah dan memberi makan orang berbuka puasa.

Memahami Dua Peringkat Penurunan al-Quran

Penting untuk kita membezakan antara dua peristiwa besar penurunan al-Quran yang berlaku dalam bulan yang mulia ini:

  1. Inzal (Penurunan Sekaligus): Penurunan al-Quran secara keseluruhan dari Lawh al-Mahfuz ke Bayt al-ʿIzzah (langit dunia). Peristiwa ini berlaku pada malam Lailatul Qadar.
  2. Tanzil (Penurunan Berperingkat): Penurunan wahyu dari Bayt al-ʿIzzah kepada Nabi Muḥammad SAW melalui perantara Malaikat Jibril AS yang bermula pada 17 Ramadan dan berterusan selama kira-kira 23 tahun.

Menariknya, kedua-dua peristiwa penurunan al-Quran ini berlaku pada bulan Ramadan. Maknanya Ramadan ini memang mulia, sebab kedudukan al-Quran yang mulia itu ditakdirkan turun pada bulan Ramadan dari banyak bulan yang lain.

7 Amalan Bermakna Bersempena Nuzul al-Quran

Dari sudut disiplin syarak, tiada nas khusus yang menetapkan amalan tertentu pada malam Nuzul al-Quran. Walau bagaimanapun, atas semangat menghidupkan tujuan al-Quran diturunkan, berikut adalah tujuh fokus amalan yang boleh kita laksanakan:

1. Mendirikan Solat Tarawih (dengan lebih penghayatan!)

Disebabkan peristiwa Nuzul al-Quran ini berlaku semasa bulan Ramadan, maka peluang amal-amal kebaikan adalah banyak. Antaranya adalah solat tarawih yang dikerjakan setiap malam Ramadan.

Cuma untuk Nuzul al-Quran ini, cuba kita dirikan solat tarawih dengan lebih penghayatan. Cari masjid atau surau yang kita tahu akan baca surah apa waktu tarawih, kita baca terjemahannya awal-awal. Masa solat nanti baru dapat faham apa yang imam baca, dan boleh senang nak hayati dan khusyuk.

2. Tilawah (dan tadabbur) Al-Quran

Ramadan sinonim dengan ibadah tilawah dan tadarus al-Quran. Alhamdulillah masyarakat kita walaupun bukan berbangsa Arab, masih cuba sedaya upaya untuk membaca al-Quran. Namun kita jarang mengambil peluang untuk tadabbur dan memahami isi kandungan al-Quran.

Ramai daripada kalangan kita yang khatam tilawah al-Quran, tetapi tentu sedikit daripada kita yang mampu mengkhatamkan tadabbur al-Quran. Jadi khas untuk Nuzul al-Quran dan malam-malam lain juga, kita tambah kuota bacaan harian kita dengan bacaan terjemahan al-Quran. Satu hingga 5 muka surat sehari pun dah cukup baik sebagai permulaan.

3. Sedekah (dengan strategik!)

Sedekah atau infak merupakan antara amalan yang sangat digalakkan dalam Islam, terutamanya dalam bulan Ramadan. Dengan semangat Nuzul al-Quran, kita juga boleh bersedekah tetapi dengan beberapa strategi yang berkesan berpandukan al-Quran. Antaranya adalah sedekah yang sedikit tetapi istiqamah.

Sedekah RM1 setiap malam selama 30 hari adalah lebih baik daripada sedekah RM30 sekaligus pada satu malam. Manfaatnya mungkin sama pada penerima, tetapi ingatan dan istiqamah kita terhadap ibadah itu yang menyebabkan ia lebih afdal. Konsistensi inilah yang melatih jiwa untuk sentiasa terikat dengan amal kebaikan. Dan tidak dilupakan sedekah wajib yang perlu dilakukan iaitu pembayaran zakat fitrah.

4. Mengkaji dan Menghayati Alam

Al-Quran merupakan ayat kebesaran Allah SWT yang kita baca (ayat Allah al-maqruʾah). Manakala alam pula merupakan ayat kebesaran Allah SWT yang kita kaji dan lihat (ayat Allah al-manzurah). Galakan bulan Ramadan biasanya sinonim dengan membaca al-Quran, namun sebenarnya ‘membaca alam’ juga boleh mendekatkan kita kepada Allah SWT.

Isyarat untuk mengkaji alam ini sama ada tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa dan lain-lain ditekankan dengan sarat dalam al-Quran. Jangan lepaskan peluang ini untuk kita juga bertafakkur terhadap fenomena alam yang berlaku bagi menyingkap rahsia-rahsia Tuhan!

5. Memberi Makan Untuk Orang Berbuka

Ini adalah ibadah khusus yang wujud dalam bulan Ramadan yang sebenarnya tidak dipandang dengan begitu teliti khususnya di Malaysia. Di negara Arab, budaya memberi makan orang berbuka adalah satu persaingan yang indah.

Dengan inspirasi al-Quran sebagai syafaat kepada manusia, kita juga patut menjadi manusia yang memberi bantuan kepada manusia lain. Kita boleh lakukan dengan mengajak orang berbuka di rumah, atau lebih mudah dengan kita memberikan pek makanan berbuka kepada jiran tetangga dan rakan pejabat.

6. Merenung dan Audit Kehidupan

Dalam suasana kehidupan yang fast pace, kadang-kadang kita lupa untuk merenung dan audit bagaimanakah hal ehwal kehidupan kita. Renungan ini bukan pada aspek material yang melibatkan hutang atau cukai, bukan juga pada aspek mental yang melibatkan hubungan kita dengan orang lain.

Tetapi ini merupakan renungan spiritual, bagaimanakah kehidupan kita dengan al-Quran. Adakah saban hari hidup kita makin dekat dengan al-Quran, dari segi bacaan dan amalan? Al-Quran datang kepada manusia untuk mengubah kehidupan mereka. Adakah benar al-Quran telah memandu perubahan kompas kehidupan kita hari ini?

7. Mengambil Cakna Hal Ehwal Umat Islam

Walaupun dalam suasana kita sibuk mencari peluang-peluang kebaikan, jangan kita sama sekali lupakan keadaan umat Islam yang lain, samada lokal atau global. Kita perlu mengambil tahu keadaan jiran dan komuniti jika mereka berada dalam keadaan susah atau sempit. Begitu juga keadaan umat Islam global yang saban hari ditindas dengan rakus oleh pihak musuh.

Al-Quran mengajar kita bahawa umat ini adalah umat yang satu, berada di bawah naungan panji hidayah Allah SWT. Semangat itu yang perlu kita terapkan dalam keadaan arus individualistik yang kuat pada hari ini.

Amar Ismat Mohd Nasir
Pusat Kajian Pemikiran dan Peradaban Ummah (PEMIKIR)

You may interested in other post:

“Kenapa mulut cepat berbau bila berpuasa?” Soalan ini sering timbul setiap kali tibanya Ramadan. Ramai yang beranggapan bau mulut ketika berpuasa berpunca daripada cara memberus gigi yang tidak betul. Namun… [more]

Apabila Ramadan menghampiri penghujungnya, umat Islam memasuki fasa yang paling istimewa dalam bulan yang penuh keberkatan ini iaitu 10 malam terakhir Ramadan. Inilah waktu di mana Rasulullah SAW meningkatkan ibadah… [more]

Tanggal 17 Ramaḍan menandakan sebuah peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam, iaitu peristiwa penurunan al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW. Ini dijelaskan oleh Ibn Kathir dalam kitabnya al-Bidayah wa al-Nihayah:… [more]

Ramadan bukan sekadar bulan menahan lapar dan dahaga. Ia adalah sebuah ‘madrasah’ spiritual yang melatih jiwa untuk kembali kepada fitrah yang suci. Di antara ribuan amal ibadah yang ditawarkan, sedekah… [more]

KUALA LUMPUR, 13 Februari 2026 – Yayasan Ikhlas terus membuktikan komitmen dan kecekapan operasi di lapangan apabila dinobatkan sebagai organisasi paling aktif dalam kalangan 60 pertubuhan Rakan NADMA bagi tempoh… [more]

Di pedalaman Kg Kilugus, sebuah Sekolah Agama Rakyat telah berjaya dibina menjadi realiti. Bukan sekadar bangunan, tetapi lambang hasrat, perpaduan dan pemberdayaan komuniti. Projek ini menjadi bukti bahawa bila sesuatu… [more]