
Tekanan di tempat kerja adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Namun jika tidak diurus dengan betul, ia boleh menjejaskan kesihatan mental, prestasi dan hubungan dengan rakan sekerja. Berikut 10 tip tangani stres di tempat kerja yang disyorkan oleh Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH).
1. Tingkatkan Sokongan Sosial di Tempat Kerja
Sokongan daripada rakan sekerja atau penyelia memainkan peranan penting. Jangan malu untuk berkongsi masalah atau meminta bantuan apabila perlu. Komunikasi terbuka boleh mengurangkan tekanan yang dipendam.
2. Urus Masa Dengan Baik
Stres sering timbul kerana kerja yang bertimbun dan tiada perancangan. Gunakan senarai tugasan (to-do list), tetapkan keutamaan, dan elakkan penangguhan kerja.
3. Amalkan Pemikiran Positif dan Rasional
Elakkan overthinking dan sangkaan negatif terhadap diri sendiri atau orang lain. Fokus kepada penyelesaian dan bukan masalah. Tukar “aku tak mampu” kepada “aku akan cuba buat sebaik mungkin”.
4. Belajar Teknik Relaksasi Yang Berkesan
Amalan seperti “Deep Breathing”, zikir perlahan, atau senaman ringan boleh membantu. Lakukan selama 5-10 minit ketika rehat untuk reset minda.
5. Belajar Cara Berkomunikasi Secara Berkesan
Komunikasi yang jelas dan sopan boleh mencegah salah faham. Belajar untuk mendengar dengan baik dan menyampaikan pandangan tanpa emosi berlebihan.
6. Tangani Kritikan Dengan Baik
Jangan ambil kritikan sebagai serangan peribadi. Anggap ia sebagai ruang untuk penambahbaikan. Ambil yang membina, tinggalkan yang melemahkan.
7. Tangani Kemarahan Dengan Cara Yang Berkesan
Apabila marah, tarik nafas panjang dan beri ruang untuk diri bertenang. Tangguh respon sehingga emosi lebih stabil. Hindari membalas ketika marah.

Baca Artikel Berkaitan: 8 Tip Keluarga Sejahtera – Panduan Hidup Bahagia & Harmoni
8. Urus Konflik di Tempat Kerja Dengan Baik
Kenal pasti punca sebenar konflik. Gunakan pendekatan diplomasi dan bukan konfrontasi. Jika perlu, libatkan pihak ketiga yang neutral.
9. Belajar Menyelesaikan Masalah Dengan Berkesan
Gunakan pendekatan analitik: Kenal pasti masalah, fikirkan pilihan penyelesaian, dan bertindak. Jangan biar masalah tergantung terlalu lama.
10. Amalkan Gaya Hidup Sihat
Tidur yang cukup, jaga pemakanan dan bersenam secara berkala. Kesihatan fizikal yang baik mampu memberi kesan langsung kepada kesihatan mental dan emosi.
Stres ataupun tekanan adalah sebahagian daripada kehidupan kerja, tetapi ia tidak sepatutnya mengawal hidup kita. Dengan kesedaran dan pendekatan yang betul, kita mampu menangani tekanan dengan tenang dan profesional. Menjaga kesihatan mental bukan kelemahan ia adalah kekuatan sebenar.

