Apabila Ramadan menghampiri penghujungnya, umat Islam memasuki fasa yang paling istimewa dalam bulan yang penuh keberkatan ini iaitu 10 malam terakhir Ramadan. Inilah waktu di mana Rasulullah SAW meningkatkan ibadah dengan lebih bersungguh-sungguh. Tujuannya jelas, Memburu Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Firman Allah SWT:
(٣)إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ ﴿١﴾ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ ﴿٢﴾ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al-Quran) pada malam Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam Lailatul Qadr itu? Malam Lailatul Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan.“
Surah al-Qadr: 1–3
Ini bermakna amalan yang dilakukan pada malam tersebut mempunyai nilai pahala yang jauh lebih besar berbanding amalan yang dilakukan sepanjang ribuan bulan.

Mengapa 10 Malam Terakhir Ramadan Sangat Istimewa?
Rasulullah SAW sendiri memberi perhatian yang luar biasa kepada 10 malam terakhir Ramadan.
Daripada Aisyah RA, beliau berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
“Nabi saw apabila masuknya hari 10 terakhir Ramadan, Baginda akan mengetatkan kain, menghidupkan malam tersebut dan mengejutkan ahli keluarganya (untuk turut menghidupkan malam).“
Riwayat al-Bukhari (2024)
Amalan Terbaik Pada 10 Malam Terakhir Ramadan
Berikut beberapa amalan yang boleh dilakukan untuk menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan:
1. Memperbanyakkan Solat Malam
Firman Allah SWT:
(٤) يَا أَيُّهَا الْمُزَّمِّلُ ﴿١﴾ قُمِ اللَّيْلَ إِلَّا قَلِيلًا ﴿٢﴾ نِّصْفَهُ أَوِ انقُصْ مِنْهُ قَلِيلًا ﴿٣﴾ أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا
“Wahai orang yang berselimut!. Bangunlah sembahyang Tahajjud pada waktu malam, selain dari sedikit masa (yang tak dapat tidak untuk berehat), iaitu separuh dari waktu malam atau kurangkan sedikit dari separuh itu, ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya dan bacalah al-Quran dengan tartil.”
Surah al-Muzzammil: 1-4
2. Membaca dan Mentadabbur Al-Quran
Ramadan adalah bulan turunnya al-Quran. Oleh itu, tilawah al-Quran merupakan antara ibadah yang paling digalakkan.
Selain membaca, cuba luangkan masa untuk memahami makna dan mesej yang terkandung dalam ayat-ayat al-Quran.
Baca artikel berkaitan: 7 Amalan Yang Digalakkan Semasa Malam Turunnya Al-Quran
3. Memperbanyakkan Doa
Daripada Aisyah RA, bahawa beliau bertanya Nabi SAW: “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan.” Nabi SAW bersabda:
اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”.
Riwayat al-Tirmizi (3513), Ibn Majah (3850) dan Ahmad (25384)][Imam al-Tirmizi menilai hadis ini sebagai hasan sahih
Doa Yang Boleh Diamalkan 10 Hari Terakhir Ramadan
4. Bersedekah dan Berinfak
Sedekah dalam bulan Ramadan mempunyai ganjaran yang besar, apatah lagi jika dilakukan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Bersedekah bukan hanya dengan wang, tetapi juga melalui bantuan kepada mereka yang memerlukan seperti menyediakan makanan berbuka puasa atau membantu golongan yang susah.
5. Beriktikaf di Masjid
Antara sunnah yang sangat digalakkan pada 10 malam terakhir Ramadan ialah iktikaf di masjid.
Daripada Abdullah Ibn Umar RA beliau berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ
“Adalah Rasulullah S.A.W itu beriktikaf pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan.“
Riwayat al-Bukhari (2025)
Lailatul Qadar: Malam Yang Dicari
Dalam isu ini, terdapat banyak hadis dan juga pendapat dalam menentukan malam al-Qadar. Walaupun begitu, Rasulullah SAW memberi beberapa isyarat kepada kita berkaitan malam al-Qadar ini. Antaranya, Baginda SAW menyatakan bahawa malam al-Qadar berlaku pada 10 akhir daripada malam ganjil dalam bulan Ramadan. Berdasarkan sebuah hadis, daripada Jabir bin Samurah Ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الْتَمِسُوهَا فِي الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ وِتْرًا
“Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil.”
Riwayat Ahmad (85)
Jangan Lepaskan Peluang 10 Malam Terakhir Ramadan
Ramadan datang hanya sekali dalam setahun. Namun Lailatul Qadar mungkin hanya hadir sekali dalam hidup kita tanpa kita sedari.
Oleh itu, manfaatkan 10 malam terakhir Ramadan dengan memperbanyakkan ibadah, doa, sedekah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kita peluang untuk bertemu Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
Semoga Ramadan kali ini menjadi Ramadan yang paling bermakna dalam hidup kita.

