Ibu anak tiga bunuh diri selepas dihambur komen negatif di Tiktok 

Luluh hati apabila tersebar kisah seorang pemilik akaun TikTok popular Shashikala telah membunuh diri selepas menerima komen negatif bertubi-tubi di akaunnya yang mempunyai lebih 30,000 ribu pengikut.

Dia dikatakan telah dibuli secara siber daripada pengguna TikTok yang lain. Shashikala Nadarajah yang berumur 44 tahun merupakan ibu kepada tiga orang anak perempuan yang masih bersekolah. 

Beberapa hari sebelum meninggal dunia, beliau sempat memuat naik video terakhir mengenai memulakan persekolahan di rumah untuk tiga anak perempuannya menggunakan sukatan pelajaran Sijil Am Pendidikan Menengah Antarabangsa (IGCSE).

Di TikTok, Shashikala selalu berkongsi pandangannya tentang pelbagai topik seperti persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah. Dalam insiden itu segelintir pengguna TikTok telah menyalahkannya sehingga diganggu secara seksual di ruang komen pada video yang disiarkan. 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggap kes bunuh diri sebagai isu kesihatan awam dan ianya boleh dicegah melalui campur tangan yang betul. Tema Hari Kesihatan Mental Sedunia bertemakan Pencegahan Bunuh Diri dipilih menjadi petunjuk kepada tahap kesihatan mental penduduk kepada sesebuah negara.

Dalam satu Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang ke -3 dijalankan pada tahun 2006, tahap kesihatan mental di kalangan dewasa di Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas. Ini adalah berdasarkan kertas soal-selidik “General Health Questionnaire” mengandungi 28 item yang digunakan di seluruh dunia untuk menyaring kesejahteraan psikologikal seseorang. Salah satu hasil kajian mendapati Prevalen keseluruhan tahap pemikiran bunuh diri yang akut adalah 6.4%, dengan kadar tertinggi di kalangan remaja dan peringkat awal dewasa berumur antara 16-24 tahun iaitu sebanyak 11%. Selain itu dari segi jantina pula lebih ramai wanita mengalami masalah mental sebanyak 55% berbanding lelaki hanya 45%.

Antara isu kesihatan mental yang dikesan merangkumi masalah emosi dan tingkah laku termasuk tekanan perasaan (acute stress disorders), kemurungan (depression), keresahan (anxiety), letih upaya (burnout) serta tingkah laku bunuh diri (suicide).

Menurut Pakar Psikiatri Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Rozanizam Zakaria yang juga merupakan Duta Yayasan Ikhlas, 1/3 daripada rakyat Malaysia mempunyai masalah berkait dengan kesihatan mental. Jelas beliau, lebih parah apabila 70% yang mengalaminya tidak mendapatkan rawatan sewajarnya. Dr. Rozanizam berkata, penyakit mental boleh dirawat dengan kaedah seperti terapi dan pengambilan ubat.

“Sebahagian besarnya adalah isu mereka ada penyakit mental dan tak dapat rawatan, kalau dapat rawatan sebenarnya tak akan timbul isu penyakit mental yang bersifat ganas dan sebagainya. Isunya sekarang ini adalah apabila pesakit tak dapat rawatan, keluarga tak bawa dan biarkan sahaja di rumah, ini cabaran kami dalam bidang ini,” katanya pada Majlis Perasmian Seminar Psikologi Kesihatan Hentikan Buli Peringkat negeri Terengganu baru-baru ini.

Kami di Yayasan Ikhlas sentiasa komited dan prihatin terhadap isu kesihatan mental dan menyokong segala usaha dan tindakan kerajaan serta para psikiatri dalam usaha membantu pesakit-pesakit ini menerima rawatan bagi memulihkan tahap kesihatan mental mereka kembali sihat dan dapat jalani kehidupan yang lebih harmoni bersama keluarga tercinta.

Jika anda merasa tertekan, rasa ingin membunuh diri, atau mengenali seseorang dalam keadaan ini, sila hubungi talian hotline berikut:

Talian Kasih
Hotline: 15999

The Befrienders
Hotline: 03-7627 2929

Agape Counselling Centre Malaysia
Hotline: 03-7785 5955 or 03-7781 0800

Life Line Association Malaysia
Hotline: 03-4265 7995

Kementerian Kesihatan dan Mercy Malaysia juga telah menyediakan talian sokongan psiko-sosial untuk petugas barisan hadapan dan lain-lain yang terjejas secara emosi akibat wabak Covid-19.

Talian boleh dihubungi di 014-322 3392, 011-639 96482, 011-6399 4236 atau 03-2935 9935, dari 8 pagi hingga 5 petang.