You are currently viewing Anak-Anak Gelandangan Ini Juga Punyai Cita-Cita Besar

Anak-Anak Gelandangan Ini Juga Punyai Cita-Cita Besar

  • Post author:
  • Post category:Article

Program Misi Asnaf Jalanan kali ini bersempena sambutan Hari Kemerdekaan, membawa semangat kebangsaan di  tengah-tengah kotaraya. Kehadiran Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin, Pengerusi Ahli Lembaga Yayasan Ikhlas, di lihat penuh mesra menyantuni anak-anak Asnaf Jalanan  dalam setiap aktiviti yang di lakukan.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

Laungan semangat ini bergema dari Lorong Haji Taib, menghidupkan jiwa dan raga anak-anak gelandangan di situ. Mereka melaungkan kata-kata keramat ini dengan penuh semangat, membuktikan bahawa meskipun hidup di jalanan, mereka masih punya semangat patriotisme yang mendalam.

Aktiviti Sambutan Kemerdekaan di Lorong Haji Taib

Program ini bukan sekadar hiburan semata-mata. Aktiviti santai seperti nyanyian lagu-lagu patriotik dan trivia kemerdekaan telah diadakan untuk anak-anak asnaf jalanan ini.

Sesi ‘Brighten the Soul’, memberi kesan kepada mereka yang hadir, di mana seorang pendakwah Yayasan Ikhlas menyampaikan nasihat dengan penuh rasa kasih dan sayang kepada warga Chow Kit.

Artikel berkaitan: Pengalaman Bantu Asnaf Jalanan di Lorong Haji Taib

Sesi ini bertujuan menyuntik satu inspirasi dan harapan baru dalam hati setiap yang hadir tidak kira lelaki atau wanita malahan warga yang sudah dimamah usia.

Cita-cita seorang anak kecil

Dalam satu perbualan santai bersama Prof. Dr. Zainur Rashid, beliau bertanya kepada seorang anak kecil tentang cita-citanya.

“Apa cita-cita kamu bila besar nanti?” soal beliau dengan penuh lembut.

Tanpa teragak-agak, Akiff, seorang anak jalanan yang polos, menjawab dengan mata yang bersinar,

“Saya nak jadi doktor!”

Begitu sekali. Jawapan Akiff mencerminkan kekuatan jiwa dan impian besar seorang anak kecil yang tidak pernah hilang harapan untuk mengubah nasib dirinya dan orang lain. Walaupun hidup di lorong-lorong gelap kota, hatinya tetap bersinar terang dengan impian yang mulia.

Semoga doa dan harapan kita semua memberi sinar kepada masa depan mereka. Siapa tahu, mungkin suatu hari nanti, dari kalangan anak-anak gelandangan inilah akan lahir pemimpin, doktor, dan individu-individu yang bakal mengubah dunia.

Yayasan Ikhlas
Rakan Kemanusiaan Kepercayaan Anda.


Ayuh ubah masa depan anak-anak kecil dari lorong ini, mereka juga mengimpikan masa depan yang cerah seperti anak-anak kita.