Please wait...

  • Hubungi Kami : +60 3-8926 5954
  • Email : yayasanikhlas2009@gmail.com

Yayasan Ikhlas lancar projek 'Need Your Help For Cambodia'

4Mei 2017
Yayasan Ikhlas lancar projek 'Need Your Help For Cambodia'

4 Mei, Bandar Baru Bangi – Yayasan Ikhlas, sebuah Pertubuhan Peduli & Prihatin, telah melancarkan Projek ‘Need Your Help For Cambodia’ atau nama singkatannya ‘HELP’. Projek ini disasarkan dijalankan di kawasan perkampungan umat Islam di Kemboja.

Seperti yang kita semua sedia maklum, dalam negara Kemboja, ramai masyarakat Muslim yang menetap di sini bermula selepas perpindahan besar-besaran rakyat Champa pada 1826 - 1836. Mereka menetap di bumi Kemboja dalam keadaan serba tidak lengkap terutamanya dari sudut keperluan asas air bersih dan pendidikan.

Cham adalah sebuah bangsa dari kerajaan Melayu Champa yang pernah memerintah sekitar abad ketujuh hingga 1832 di kawasan tengah dan selatan tanah Vietnam masa kini. Pengislaman besar-besaran masyarakat Cham berlaku pada abad ke-17 bila mana kerajaan diraja Champa telah memeluk Islam lalu dituruti oleh rakyat jelata. Kesan daripada perluasan kuasa bangsa Dai Viet mengakibatkan tumbangnya kerajaan Champa sepenuhnya pada tahun 1832 dan masyarakat Cham melarikan diri ke beberapa kawasan seperti Kemboja, pantai timur Malaysia, Acheh, dan Pulau Hainan, China.

Yayasan Ikhlas telah menghantar tiga orang wakil bagi menjalankan misi riki pada 21 Mac sehingga 26 Mac 2017, di dua buah kampung yang mengambil masa lebih dari lima jam perjalanan.

“ Masyarakat Cham di Kemboja kini berasal dari kawasan pedalaman negara Champa dan mereka membentuk komuniti pada awalnya di sebuah wilayah yang kini dinamakan sebagai Kampong Cham serta di sekitar tepian Sungai Mekong.

Berlalu masa yang panjang, sejarah menyaksikan nasib malang masyarakat Cham ketika pemerintahan kuku besi Khmer Rouge oleh Pol Pot sekitar 1975 hingga 1979. Polisi kerajaan pimpinan Pol Pot yang taksub pada ajaran komunis menyebabkan masyarakat Cham juga menjadi mangsa utama kekejamannya dimana para ulamak, para ustaz dan para imam dibunuh beramai-ramai.

Dalam masa sesingkat tiga tahun lapan bulan dan 10 hari sahaja, dianggarkan setengah juta masyarakat Islam terutamanya yang berbangsa Cham telah dibunuh secara kejam dan hanya sejumlah 100 000 orang sahaja yang tinggal pada ketika itu. Biarpun ketika ini keadaan kembali kembali aman di Kemboja, namun parut kezaliman Pol Pot masih mengesani masyarakat Cham di Kemboja dan ia terbukti bila melihat kelompongan individu yang terkehadapan dalam memimpin masyarakat Cham untuk menjana pendapatan hidup serta pendidikan dengan lebih baik masih belum selesai. Oleh yang demikian, majoriti dari mereka ini masih hidup di bawah kadar kemiskinan yang amat dahsyat. ” bagitahu Saudara Mohamad Fathil Aqil Abdullah, salah seorang wakil Yayasan Ikhlas yang terlibat dalam misi riki.

Pihak Yayasan Ikhlas merancang untuk memperluaskan lagi bentuk bantuan kemanusiaan yang boleh diberi terutamanya dari sudut pendidikan dan keperluan asas. Berikut adalah bentuk bantuan yang dirancang :

• Sumbangan pembinaan telaga tiub bagi sumber air bersih
• Sumbangan untuk pembinaan serta penambahbaikan infrastruktur asas bangunan sekolah rendah
• Sumbangan daging aqiqah dan qurban

Ir Hj Kamaruddin Kassim, Pengurus Besar Yayasan Ikhlas berkata, “ Sumbangan ini akan disampaikan secara berkala melalui wakil Yayasan Ikhlas di Kemboja. Sumbangan serta kerjasama dari mana-mana pihak amat dialu-alukan bagi menjayakan projek ini.

Sumbangan wang tunai boleh disalurkan melalui akaun YI seperti di bawah:

No. Akaun Maybank : 5628 3463 6228
No. Akaun CIMB : 8600 601 366

Maklumkan jumlah sumbangan kepada :
En Fathil Aqil (019 6159496)
Pegawai Operasi Yayasan Ikhlas