Please wait...

  • Hubungi Kami : +60 3-8926 5954
  • Email : yayasanikhlas2009@gmail.com

Ucapan Raya Aidilfitri dari Pengerusi Yayasan Ikhlas

25Jun 2017
Ucapan Raya Aidilfitri 1438H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati,
Hari Raya Aidilfitri merupakan suatu kemenangan besar yang dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia sebagai tanda kesyukuran atas ibadah yang dijalankan sepanjang sebulan berpuasa, usaha meningkatkan amal ibadah sunnat, menjaga segala pancaindera dan mengeluarkan harta bagi bersedekah membantu mereka yang memerlukan.

Kemenangan ini lebih besar ertinya apabila di akhir Ramadhan, kita berjaya melakukan sebuah perubahan pada diri menjadi Insan yang merasa dekat dengan Allah, sentiasa merasa diperhatikan Allah, ibadah menjadi istiqamah dan perasaan takut kepada Allah memuncak.

Dalam tempoh sembilan tahun Yayasan Ikhlas beroperasi, banyak projek serta ujian melaksanakannya yang telah ditempuh dan saya bersyukur ke hadrat Ilahi, dengan kerjasama badan korporat dan orang umum, kita berjaya menangani dan mengatasi setiap cabaran itu dengan baik. Alhamdulillah, semua usaha yang dilaksanakan semakin diperhatikan rakyat Malaysia yang peduli & prihatin.

Tuan-tuan dan Puan-puan,
Di saat kita menyambut Aidilfitri, saudara kita Rohingya, umat Islam Syria dan Palestin, Somalia, sedang masih menahan lapar. Mereka juga menyambut Aidilfitri, mereka solat Raya, mereka juga memakai pakaian yang paling cantik mereka ada, namun mereka tiada apa untuk dimakan, sekeliling mereka dihujani dengan meriam, peluru berpandu, peluru pistol, rumah mereka dibakar, harta mereka dirompak, ahli keluarga mereka diperkosa dan dibunuh.

Marilah kita sama-sama menghayati aidilfitri kali ini dengan menghubungkan dengan saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Rohingya dan Somalia. Bantulah mereka sekadar apa yang kita mampu.

Untuk makluman Tuan Puan, pada Ramadhan 2017 tahun ini, Yayasan Ikhlas telah berjaya menjalankan projek Bakul Kasih Ramadhan sebanyak 33 misi kepada 2500 asnaf. Lebih kurang 300 orang anak yatim telah menerima manfaat, empat pertubuhan anak yatim, asnaf dan fakir menerima sumbangan RM 8000 dan 2200 keluarga miskin menerima sumbangan bakul kasih Ramadhan.

Yayasan Ikhlas juga telah berada di luar negara melaksanakan misi bantuan makanan di kem pelarian Rohingya di lima kawasan sepanjang 29 hari berpuasa. Di Aceh pula, Yayasan Ikhlas telah membeli baju raya untuk 85 orang anak-anak yatim di Pondok Yatim Tahfiz Ar Raudhah, Lhoksuemawe.

Pastinya, projek ini tidak akan dapat dijalankan tanpa sokongan daripada seluruh sumbangan penyumbang yang peduli serta prihatin akan mereka yang memerlukan. Semoga Allah kurniakan syurga untuk setiap penyumbang sama ada sumbangan wang tunai dan tenaga dalam projek-projek Yayasan Ikhlas.

IBersempena dengan bulan Syawal yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua dengan setulus harapan semoga hubungan persaudaraan umat Islam menjadi lebih padu dan akrab. InsyaAllah

Justeru, marilah kita sama-sama menyambut dan meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan penuh rasa peduli dan prihatin, mempunyai semangat kesatuan, tolak ansur dan saling memahami antara satu sama lain.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin. Wabilahi Taufiq Wal Hidayah, Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Dato’ Mohd Rosli Bin Ramli
Pengerusi Eksekutif Yayasan Ikhlas