Produk Yayasan Ikhlas

Waqaf

Waqaf Kitab Al-Quran merupakan satu projek waqaf yang dianjurkan oleh Yayasan Ikhlas sebagai satu inisiatif di bawah teras dakwah dengan tujuan memberikan Al-Quran sebagai rujukan utama dalam agama terutama kepada golongan yang baru mendekati dan mengenali Islam serta mereka yang jauh dari kemudahan dan capaian pendidikan agama yang komprehensif.

Sehubungan itu, keperluan untuk memudahkan pengamalan bacaan Al-Quran dalam bentuk yang lebih mudah dan ringkas tanpa memberatkan atau meringankan pembaca lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru berjinak-jinak dengan pembacaan Al-Quran ini dilihat penting untuk dititikberatkan.

Di atas kesedaran inilah, Yayasan Ikhlas tampil ke tengah-tengah masyarakat dengan menganjurkan projek waqaf Al Quran untuk mengumpulkan penyertaan waqaf dari seluruh rakyat Malaysia bagi penyerahan kepada umat di kawasan pendalaman, mualaf, fakir miskin, banduan-banduan di penjara, pusat pemulihan akhlak (pusat serenti) serta juvana, surau dan pondok tahfiz yang memerlukan.

Melalui kelebihan Al-Quran waqaf yang ditampilkan iaitu kaedah tajwid bewarna yang mudah, penandaan hukum yang menyeluruh, lengkap dengan terjemahan serta tulisan yang jelas ini diharap dapat dijadikan sebagai ‘Kit Ibadah’ kepada golongan ini untuk lebih bersemangat mendalami agama dengan cara pembelajaran yang mudah dan menarik.

Dengan harga Al Quran Waqaf yang berpatutan iaitu RM 20 / seunit, Yayasan Ikhlas mengharapkan kempen ini dapat memberi peluang seluas-luasnya kepada masyarakat Malaysia untuk berwakaf dan menjana saham akhirat di samping membantu golongan sasar mendekati dan mempelajari Islam dengan penuh minat dan bersungguh-sungguh.