Produk Yayasan Ikhlas

Humanitarian Aid To Rohingya

Bantuan Kemanusiaan Etnik Rohingya di Cox’s Bazar, Bangladesh, anjuran Yayasan Ikhlas adalah satu inisiatif yang dirancang khas bagi membantu mengurangkan keperitan dan kesusahan yang dialami etnik rohingya yang melarikan diri dari Myanmar atas penghapusan etnik secara senyap dan tidak berperikemanusiaan oleh ekstremis Buddha dan tentera kerajaan Myanmar.

Arakan iaitu tanah yang didiami Rohingya mempunyai 2 kelompok kaum yang besar iaitu etnik Rohingya yang beragama Islam dan Rakhines (Maghs) yang beragama Buddha. Arakan merupakan antara 14 daerah di dalam wilayah Burma di mana daripada 7 juta umat Islam di sana, hampir separuh berada di Arakan. Arakan yang berkeluasan 36,778.0 km persegi mempunyai populasi lebih daripada 3 juta penduduk, tidak termasuk seramai 1.5 juta etnik Rohingya yang dibunuh dan dibuang daripada Burma sejak daripada tahun 1942. Seawal tahun 1942 juga, terdapat lebih kurang 200,000 etnik di Burma tetapi kini hanyalah tinggal sekitar 100 lebih sahaja.

Jika diselidiki siapakah di sebalik Kerajaan Burma yang menjalankan penghapusan etnik ke atas muslim Rohingya maka jawapan yang ada terbukti bahawa majoriti daripada kerajaan dan tentera adalah daripada etnik Maghs. Mereka bukanlah penduduk asal Burma. Mereka ini berhijrah ke Burma dalam sekitar 1200-1500 tahun yang lepas. Asal usul bahasa mereka adalah Sino-tibetan dan merupakan susur galur dari keturunan Yunan yang bermigrasi daripada China. Etnik Maghs telah menduduki tanah Arakan sehingga berjaya memerintah tanah tesebut.

Pada tahun 1982, mereka telah membuat satu proses ‘Burmanization’ dan memperkenalkan identiti mereka sebagai Burman. ‘Burmanization’ adalah proses asimilasi menjadikan Burma sebagai satu bangsa, budaya, bahasa dan sejarah. Identiti bangsa adalah Burman dan identiti agama adalah Buddha. Sebagai tambahan kepada identiti tersebut, jika diimbas kembali pada tahun 1961, kerajaan Burma telah mengisytiharkan Buddhism sebagai state religion tanpa mengambil kira etnik majoriti lain seperti Rohingya yang beragama Islam dan Kachin yang 90% beragama Kristian.

Mana-mana etnik yang cuba menolak asimilasi identiti ini maka mereka perlu berhadapan dengan penghapusan etnik. Wajarlah ia ditentang orang Islam kerana pemaksaan identiti ini akan mendorong mereka untuk murtad. Setelah diselidiki, terdapat 14 kaedah penghapusan etnik yang berjaya direkodkan seawal tahun 1942 lagi yang dilakukan secara kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas etnik Muslim Rohingya.

Kebelakangan ini, negara kita kembali dikejutkan dengan isu pelarian Rohingya yang terkandas di dalam bot dan dibiarkan hanyut tanpa bekalan air dan makanan yang mencukupi. Ramai tertanya-tanya mengenai cerita sebenar di sebalik isu Rohingnya di Myanmar ini. Pelarian Rohingnya yang tidur dalam keadaan bersesak-sesak sekarang berada di kem pelarian Cox’s Bazar, Bangladesh.

Sehubungan itu, Yayasan Ikhlas mengambil inisiatif dengan menjalankan bantuan Kecemasan Rohingya bagi menyampaikan bantuan sekadar yang termampu dengan hasil kutipan rakyat Malaysia. Bagi memapankan lagi dana bantuan ini, Yayasan Ikhlas juga mengambil inisiatif kerjasama ini untuk memberi peluang kepada peserta yang berkumpul untuk memberi sumbangan mereka kepada saudara seagama. Yayasan Ikhlas berharap agar usaha ini dapat meringankan beban mereka dalam menghadapi kehidupan seharian.