Produk Yayasan Ikhlas

HELP - Need Your Help For Cambodia

‘HELP’ adalah projek yang dijalankan Yayasan Ikhlas di Kemboja. Seperti yang kita semua sedia maklum, dalam negara ini, ramai masyarakat Muslim yang menetap di sini bermula selepas perpindahan besar-besaran rakyat Champa pada 1826 - 1836. Mereka menetap di bumi Kemboja dalam keadaan serba tidak lengkap terutamanya dari sudut keperluan asas air bersih dan pendidikan.

Cham adalah sebuah bangsa dari kerajaan Melayu Champa yang pernah memerintah sekitar abad ketujuh hingga 1832 di kawasan tengah dan selatan tanah Vietnam masa kini. Pengislaman besar-besaran masyarakat Cham berlaku pada abad ke-17 bila mana kerajaan diraja Champa telah memeluk Islam lalu dituruti oleh rakyat jelata. Kesan daripada perluasan kuasa bangsa Dai Viet mengakibatkan tumbangnya kerajaan Champa sepenuhnya pada tahun 1832 dan masyarakat Cham melarikan diri ke beberapa kawasan seperti Kemboja, pantai timur Malaysia, Acheh, dan Pulau Hainan, China.

Masyarakat Cham di Kemboja kini kebanyakannya berasal dari kawasan pedalaman negara Champa dan mereka membentuk komuniti pada awalnya di sebuah wilayah yang kini dinamakan sebagai Kampong Cham serta di sekitar tepian Sungai Mekong. Berlalu masa yang panjang dan sekali lagi sejarah menyaksikan nasib malang masyarakat Cham ketika pemerintahan kuku besi Khmer Rouge oleh Pol Pot sekitar 1975 hingga 1979. Polisi kerajaan pimpinan Pol Pot yang taksub pada ajaran komunis menyebabkan masyarakat Cham juga menjadi mangsa utama kekejamannya dimana para ulamak, para ustaz dan para imam dibunuh beramai-ramai. Dalam masa sesingkat tiga tahun lapan bulan dan 10 hari sahaja, dianggarkan setengah juta masyarakat Islam terutamanya yang berbangsa Cham telah dibunuh secara kejam dan hanya sejumlah 100 000 orang sahaja yang tinggal pada ketika itu. Biarpun ketika ini keadaan kembali kembali aman di Kemboja, namun parut kezaliman Pol Pot masih mengesani masyarakat Cham di Kemboja dan ia terbukti bila melihat kelompongan individu yang terkehadapan dalam memimpin masyarakat Cham untuk menjana pendapatan hidup serta pendidikan dengan lebih baik masih belum selesai. Oleh yang demikian, majoriti dari mereka ini masih hidup di bawah kadar kemiskinan yang amat dahsyat.

Sebelum ini, Yayasan Ikhlas telah melaksanakan beberapa projek seperti sumbangan korban selama tiga tahun lalu di Kemboja namun untuk kali ini, pihak kami merancang untuk memperluaskan lagi bentuk bantuan kemanusiaan yang boleh diberi. Disamping bantuan berterusan seperti sebelum ini, pihak Yayasan Ikhlas mensasarkan untuk memberi fokus kepada projek perkembangan pendidikan secara berperingkat. Pada peringkat awal ini, projek perkembangan pendidikan dilaksanakan dalam dua bentuk sumbangan:

Sepanjang tahun ini, Yayasan Ikhlas merancang untuk mengadakan tiga kali rombongan misi kemanusiaan yakni pada bulan Ramadhan, pada Hari Raya Aidil Adha, dan pada hujung tahun dengan tujuan menyampaikan sumbangan secara berperingkat.