Produk Yayasan Ikhlas

Bakul Kasih Ramadhan

Projek yang dijenamakan dengan nama Bakul Kasih Ramadhan (BKR) ini merupakan salah satu daripada program kebajikan tahunan yang dilaksanakan oleh Yayasan Ikhlas dengan kerjasama pelbagai pihak bagi meringankan sedikit bebanan serta menceriakan penerima sumbangan yang terdiri daripada golongan fakir miskin dan asnaf. BKR yang kini menjangkau tahun kelima penganjurannya ini bukan sahaja berjaya mencapai cakupan sasaran penerima sumbangan yang semakin luas setiap tahun bahkan telah melibatkan kerjasama syarikat-syarikat korporat dan badan bukan kerajaan serta persatuan mahasiswa di institusi pengajian tinggi juga.

Pada penganjuran BKR tahun 2016, Yayasan Ikhlas telah menjalankan 19 misi dan berjaya menyampaikan bantuan kepada seramai 1554 orang asnaf di seluruh Malaysia; 1180 buah keluarga miskin, 274 orang anak-anak yatim dan miskin, 80 orang mualaf serta 20 buah keluarga bukan Islam telah mendapat manfaat sumbangan. Manakalah pada tahun lalu, Yayasan Ikhlas berjaya melaksanakan 42 misi dimana cakupan penerima bertambah kepada seramai 1887 buah keluarga dan individu yang memerlukan terdiri daripada ibu tunggal, mualaf, anak yatim, dan pesakit hospital.

Berbekalkan prestasi penganjuran BKR tahun lalu serta pengalaman yang ada, Yayasan Ikhlas akan meluaskan cakupan sasaran penerima sumbangan pada Ramadhan kali ini kepada beberapa lokasi komuniti muslim luar negara yang memerlukan seperti di kem pelarian Rohingya, Bangladesh dan perkampungan Melayu Cham di Tboung Khmom, Kemboja disamping lokasi-lokasi tempatan tetap menjadi keutamaan Yayasan Ikhlas.

Dengan sasaran seramai 3000 orang penerima sumbangan untuk BKR tahun 2018, Yayasan Ikhlas bersedia untuk menggerakkan para sukarelawan di lokasi-lokasi terpilih ini dalam usaha bukan sahaja untuk mencari individu atau keluarga yang layak menerima sumbangan tetapi membantu melaksanakan juga majlis penyerahan sumbangan atau aktiviti seperti menyampaikan sumbangan ke kediaman penerima sumbangan jika ada penerima yang uzur, dan lain-lain. Program kemuncak BKR 2018 pula bakal dilaksanakan di peringkat pusat pada 9 dan 10 Jun 2018 dimana akan melibatkan penyertaan para sukarelawan dari Team Ikhlas yang akan menyantuni anak-anak yatim dan miskin sepanjang dua hari satu malam.

Justeru ini, Yayasan Ikhlas dengan rendah hati mengajak mana-mana badan, syarikat, dan individu untuk bersama kami menjayakan projek Bakul Kasih Ramadhan 1439H/2018M. Moga dengan pelaksanaan projek ini menjadi bukti keprihatinan kita kepada mereka yang kurang bernasib baik dalam menempuhi ibadah dalam bulan Ramadhan disamping membawa keberkatan kepada para penyumbang, insyaAllah.