Please wait...

  • Hubungi Kami : +60 3-8926 5954
  • Email : yayasanikhlas2009@gmail.com

Kembara Korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh

19Julai 2017
Kembara Korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh

19 Julai, Bandar Baru Bangi – Pada 16 September 2016, alhamdulillah rasa bersyukur dan bertuah kerana saya diberi kepercayaan menguruskan ibadah korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh bersama Encik Syafiq Syazmi Sazali, Pegawai Tugas-Tugas Khas Yayasan Ikhlas (YI). Walaupun hanya mengambil masa 10 hari untuk kempen korban Bangladesh, YI telah berjaya mendapat penyertaan 47 ekor lembu, ia melebihi sasaran asal hanya 40 ekor. Itupun masih ramai lagi yang hubungi YI setelah penyertaan ditutup. Satu capaian yang wajib disyukuri kerana ia merupakan projek sulong YI di Bangladesh.

Alhamdulillah Allah permudahkan urusan. Mengambil masa lima hari untuk membuat segala persiapan dokumen untuk ke Bangladesh seperti pembelian tiket, visa, MoU dengan wakil Bangladesh, pembayaran lembu ke Bangladesh, cetak nama peserta, banner dan lain-lain lagi.

Yayasan Ikhlas menjalin kerjasama dengan Ustaz Shahidul Islam Faruqi, Chairman Sabehuul Huda Education Foundation untuk melaksanakan program korban di Bangladesh. Ustaz Shahidul adalah warga Bangladesh yang sedang mengikuti pengajian PhD, Maqasid Syariah di UIA Gombak. Beliau juga berpengalaman mengendalikan program korban di Bangladesh.

Semua 40 tempat korban yang dicadangkan dalam MoU telah menerima 47 ekor lembu korban tersebut. Korban telah berjaya disempurnakan pada hari raya pertama dan kedua.

Urusan Visa juga tidak rumit, hanya ambil masa dua hari sahaja. Sediakan dua keping gambar saiz visa background biru, salinan passport, surat undangan ke Bangladesh, alamat tempat tinggal di Bangladesh, no hp untuk dihubungi di Bangladesh serta slip bayaran visa RM40 yang dibank-in terlebih dahulu ke acc Maybank Kedutaan Bangladesh.

Walaupun pada awalnya saya rasa bimbang aspek keselamatan berikutan perkembangan mutaakhir politik di Bangladesh. Namun perasaan tawakkal sebulatnya pada Allah swt dan mengambil inspirasi keyakinan Nabi Ibrahim a.s. meninggalkan Hajar dan Ismail di padang pasir yang gersang, akhirnya dapat mengatasi semua rasa kebimbangan itu.

Kami berlepas dari KLIA sepatutnya 0955 pm, tetapi tertunda 15 minit kerana pengurusan AirAsia terpaksa menyelesaikan masalah beberapa penumpang yang membawa bagasi bimbit melebihi timbangan yang dibenarkan.. Bag ditimbang di ruang menunggu untuk berlepas. Suasana agak tegang bila ada penumpang yang degil tidak mahu mematuhi arahan.

Majoriti penumpang adalah warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia dan pulang bercuti, sudah pasti banyak barangan yang dibawa untuk keluarga.

Dalam kapal terbang ada sedikit suasana berebut tempat duduk walaupun terjamin AirAsia menyediakan seat yang secukupnya untuk setiap penumpang. Seat ana pun asalnya dah ada orang lain duduk. Mereka duduk ikut sukahati sahaja macam suasana naik keretapi di Bangladesh.

Bila tunjuk boarding pass akhirnya mereka akur kerana silap seat. Mereka minta maaf sambil melemparkan senyuman penawar.

Dua penumpang yang duduk bersebelahan saya adalah warga Bangladesh yang bekerja di Malaysia dan boleh bertutur Melayu. Seorang darinya dah 4 tahun kerja di Selayang manakala seorang lagi dah 10 tahun bekerja di Kilang Plastik Meru Klang.

Walaupun AirAsia tidak menyediakan makanan dan minuman bagi penumpang yang tidak membuat tempahan online, namun perjalanan 3 setengah jam tetap rasa terhibur dengan perkongsian pengalaman mereka bekerja di Malaysia. Mereka bersyukur dan bertuah dapat bekerja mencari rezeki di Malaysia, negara aman dan rakyatnya berbudi bahasa khususnya orang Melayu.

Tepat 1145 pm waktu Bangladesh, kapal terbang selamat mendarat di Dhaka ibu negara Bangladesh. Mengambil masa lebih kurang 45 minit urusan imigresen. Ketika kami sedang beratur di kaunter imigresen, kelihatan kelibat Ustaz Shahidul Islam Faruqi baru tiba dari Malaysia. Beliau yang turut serta dalam misi korban ini menaiki penerbangan Malindo Air.

Mendapat maklumat dari penumpang lain bahawa sepanjang 4 hari perayaan, bank dan kedai akan ditutup, kami ambil kesempatan menukar mata wang USD ke TAKA (matawang Bangladesh) dan membeli sim kad Banglalink di zon bebas cukai yang dibuka 24 jam dalam airport. Namun dukacita talian internet ada gangguan sepanjang perayaan, hanya boleh guna untuk panggilan sahaja.

Ketibaan kami disambut Maulana Muhammad Salman, prinsipal Madrasa Darul Rashad (MDR), Dr Humayun Kabir dan Muhammad Nurul Zaman seorang pemandu yang sudah berkhidmat lebih 10 tahun dengan MDR.

Kami dibawa ke tempat penginapan tetamu di MDR, Phalabi, Dhaka. Kediaman yang sederhana tapi selesa. MDR adalah sebuah sekolah agama swasta yang mempunyai 1200 orang pelajar dalam satu-satu masa. Telah melahirkan ramai huffaz dan ulamak hebat di Bangladesh.

Eidul Adha di Bangladesh disambut pada 13 September. Ia sama seperti di Pakistan dan India. Mereka bermazhab Hanafi. Solat eidul adha dan ibadah korban adalah wajib di sisi mereka.

Kami berpeluang menunaikan solat eidul adha mengikut cara mazhab Hanafi di sebuah masjid 3 tingkat yang terletak bersebelahan Madrasa Darur Rashad. Memandangkan bilangan jamaah yang terlalu ramai, memaksa solat eidul adha dilakukan sebanyak 3 kali. Masjid hanya boleh memuatkan 4 ribu orang sahaja dalam satu-satu masa. Itupun hanya jamaah lelaki.

Hari raya pertama sebanyak 10 ekor lembu berjaya dikorbankan di beberapa tempat di Dhaka. 2 ekor ditumbangkan di MDR. Manakala baki 37 ekor lagi berjaya dikorbankan di Khustia, kawasan perkampungan yang terletak di sebuah pulau, 6 jam perjalanan dari Dhaka.

Hari raya kedua, seawal jam 0500 pagi kami bertolak ke Khustia. Perlu bertolak awal demi mengelak kesesakan lalu lintas di bandar. Sebahagian perjalanan perlu menaiki feri selama 1 jam.

Kami bergerak menaiki kereta jenis Toyota SEG warna putih yang dipandu oleh Muhammad Nurul Zaman, sangat pantas dan cekap. Kenderaan yang dilengkapi bunyi siren polis dan mikrofon. Siren polis sentiasa dibunyikan setiap kali ada kesesakan jalan atau hendak memintas kenderaan lain, juga ketika hampir sampai destinasi dituju, persis seperti naik kereta menteri.

Dua kali berhenti di stesen minyak, sekali isi petrol dan sekali isi gas. Petrol di Bangladesh RM4.70 satu liter. Jauh lebih mahal berbanding di Malaysia.

Tiba di Khustia jam 11 pagi, kami terus menuju ke tempat pertama korban. Di samping menyempurnakan korban, ana turut dijemput untuk membacakan doa selamat dan rasmikan tapak madrasah lilbanat. Ustaz Shahidul Islam mengaminkan doa sambil menangis terharu.

Seterusnya kami bergerak ke kampung Ustaz Shahidul Islam. Ada sebuah madrasah dan masjid dalam pembinaan berhampiran rumah Ustaz Shahidul. Ustaz Shahidul adalah pengasas dan mudir madrasah ini.

Kami menginap di bilik tetamu madrasa tersebut. Ramai ahli keluarga dan orang kampung berpusu-pusu datang bersalaman dan meminta didoakan.

Di tempat ini 3 ekor lembu dikorbankan. Orang kampung menunggu sejak awal pagi untuk menyambut ketibaan kami. Ditakdirkan Allah swt hujan turun setibanya kami di situ. Oleh kerana dah lama tak turun hujan, maka ada yang berkata kedatangan kami bagaikan membawa rahmat.

Di kampung ini kami disajikan makan tengahari dan makan malam dengan lauk 2 jenis ikan, ayam kampung dan kambing. Mereka beli ayam dan kambing untuk raikan tetamu. Sedihnya bila ana dapat tau, lauk kambing dan ayam itu masak cukup-cukup untuk tetamu sahaja, untuk makan siang dan malam.

Ahli keluarga tak sentuh lauk daging itu kerana bimbang tak cukup. Hanya itulah bajet yang mereka mampu untuk ihtiram tetamu. Mengalir air mata mengenangkan anak-anak kecil yang kelihatan seperti terliur nak makan bersama ketika itu tetapi dihalang keluarga. Ana dapat tahu keadaan sebenar selepas siap makan malam, berbual dengan seorang remaja yang boleh berbahasa Arab. Dia kata ; ini memang adab kami ketika sambut tetamu lebih-lebih lagi bila tetamu tersebut seorang ustaz dan ulamak. Salam cium tangan dan minta doakan berbagai ; minta doa kesembuhan dari sakit, doa dapat pergi ke Mekah buat haji, doa minta murah rezeki dan lain-lain.

Keadaan di kampung memang terlalu miskin. Setiap rumah di kampung ada kolam ikan. Ikan itulah sumber lauk mereka sepanjang hayat. Dapat merasa daging ketika raya korban setahun sekali. Ada yang mampu ternak lembu tapi untuk dijual ketika musim perayaan, bukan untuk makan sendiri.

Alhamdulillah semua lembu korban dari rakyat Malaysia dapat disempurnakan pada raya kedua di beberapa buah kampung miskin tegar dalam daerah Khustia.

Pemilihan Bangladesh sebagai salah satu destinasi korban Yayasan Ikhlas adalah ijtihad yang amat tepat sekali. Terdapat jutaan manusia beragama Islam miskin tegar di negara ini. Mereka perlukan makanan dan pakaian. Sungguh menginsafkan bila melihat keadaan mereka. Sukar nak digambarkan dengan kata-kata keperitan hidup yang mereka lalui.

Syafiq Syazmi Sazali dan Ustaz Shahidul meneruskan perjalanan ke beberapa tempat lagi untuk acara korban. Manakala saya direhatkan di rumah tetamu madrasah. Ada beberapa tempat korban yang tak ada laluan kereta, terpaksa masuk berjalan kaki beberapa kilometer.

Menjelang Maghrib ana dijemput menyampaikan ucapan dan tazkirah ringkas dalam bahasa Arab di Madrasah Darul Uloom Sabeelur Rashad di Dawlatpur, Kushtia. Ketika itu tiada penterjemah yang mahir berbahasa Arab kerana ustaz Shahidul dan Syafiq masih terlibat dengan program korban di tempat lain. Ada seorang pelajar Bangla kelulusan Master Buissenes Admintration boleh berbahasa Inggeris sikit-sikit tolong terjemah. Ana terpaksa komunikasi english + arab. Audean hanya senyum dan terangguk-angguk sepanjang tazkirah.

Lepas Isyak ana dijemput sekali lagi memberi tazkirah 30 minit dalam bahasa arab dan diterjemah oleh Ustaz Shahidul Islam, pelajar Bangla yang sedang menamatkan PhD Maqasid Syariah di UIA Gombak. Beliau dianggap seperti mufti di daerahnya dan semua tempat yang kami kunjungi. Slot kedua ini kelihatan riak wajah kepuasan audean bila mufti sendiri yang terjemah dengan penuh semangat. Ana mengupas ayat 13 surah al-Hujurat bertemakan ukhuwwah dari kejadian berbilang bangsa.

Firman Allah bermaksud : "Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal". [Surah al-Hujurat : 13]

Sepanjang masa kami di Dhaka dan Khustia, ada pengiring peribadi yang ditugaskan untuk menemani ksmi. Di antara tugasnya ialah menyimpan kasut atau selipar yang kami guna. Selipar perlu dibawa masuk dalam masjid dan letak di tempat yang disediakan supaya tidak hilang. Di tempat penginapan pun begitu juga, pengiring akan ambil selipar atau kasut kita dan diletakkan di tempat yang disediakan. Sehingga kami nak bertolak balik kasut saya juga dikiwikan terlebih dulu sampai kilat. Kami bagaikan tidak dibenarkan menyentuh kasut sendiri.

Pengiring tersebut juga ditugaskan untuk jemur tuala mandi, lipat pakaian, membeli keperluan di kedai berhampiran dan lain-lain. MasyaAllah cukup terharu dengan layanan mereka terhadap tetamu, lebih-lebih lagi terhadap seseorang yang ada title ustaz dan ulamak. Serba salah kami dibuatnya.

Saya ke Bangladesh hanya membawa sehelai jubah dan beberapa helai pakaian kemeja dan t-shirt untuk memudahkan urusan korban. Tetapi dinasihatkan oleh Ustaz Shahidul Islam supaya berterusan pakai jubah, kerana itu uruf pakaian seorang Ulamak di Bangladesh. Saya hanya menuruti sahaja nasihatnya asalkan tiada isu keselamatan.

Jam 5.00 pagi setelah selesai mengumandangkan azan dan mengimami solat subuh di Khustia, kami bertolak balik ke Dhaka. Mengambil masa perjalanan yang hampir sama selama 6 jam. Kami kembali semula ke penginapan yang sama di MDR, Dhaka.

Di MDR kami ditemukan dengan sekumpulan 26 orang pelajar muallaf. Mereka berasal dari beberapa suku kaum yang beragama Hindu. Telah diislamkan dan kini telah menjadi anak angkat MDR serta mendapat didikan agama di situ.

Hari terakhir di Dhaka kami sempat berkunjung ke Kedutaan Malaysia, namun dukacita kerana pejabat tutup. Hanya berpeluang ambil gambar di luar pejabat sahaja. Tepat jam 0900 pm waktu Dhaka kami bertolak ke lapangan terbang untuk berlepas pulang ke Malaysia. Prinsipal MDR turut menghantar kami ke lapangan terbang.

Sebelum meninggalkan kediaman, kami sempat menyampaikan plak cenderahati dari Yayasan Ikhlas sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan.

Suasana sebak dan pilu di saat akhir perpisahan walaupun hanya sempat bertaaruf beberapa hari. Dua kali prinsipal Maulana Muhammad Salman menghubungi kami bertanya keadaan semasa ketika kami sudah ada di balai berlepas. Begitu juga ketika kami sudah sampai di Malaysia, dua kali maulana menghubungi kami bertanyakan khabar. Maulana boleh berbahasa Arab dan Inggeris. Pernah datang ke Kelantan dan mengenali almarhum TG Nik Abdul Aziz.

Tepat jam 0630 pagi hari Jumaat 20.09.16 kami selamat mendarat di KLIA2. Alhamdulillah, demikianlah sedikit coretan kembara korban Yayasan Ikhlas di Bangladesh.