Please wait...

  • Hubungi Kami : +60 3-8926 5954
  • Email : yayasanikhlas2009@gmail.com

Kau anak siapa?

1Ogos 2017
Kau anak siapa?

Pengorbanan seorang remaja perempuan kecil bernama Herlyn, 11 tahun yang berjalan kaki ke kampung sebelah untuk mendapatkan agihan daging korban amat menyentuh perasaan rombongan Program Korban Perdana Surau Al-Amin dan Yayasan Ikhlas di Kg. Masolog, Kota Marudu.

Usai majlis penyerahan daging korban bagi penduduk mualaf Kg. Gana di surau berkenaan, Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin, salah seorang Jawatankuasa Eksekutif Yayasan Ikhlas menceritakan bahawa sedari awal tiba ke surau berkenaan, dia telah melihat seorang remaja perempuan yang berwajah sugul dan tunduk seperti memendam sesuatu.

Bukan sahaja dia tidak menerima sumbangan daging tersebut bahkan tidak dikenali oleh penduduk Kg. Gana kerana nama keluarganya tidak tersenarai dalam kalangan penduduk Kg. Gana.

Kami lantas memberikan sebungkus pemberian daging yang berbaki.

“Walaubagaimanapun Herlyn tidak pernah kelihatan tersenyum meskipun sudah diberikan daging korban dan sedikit sumbangan kewangan” ujarnya lagi.

Setelah dikenalpasti, remaja perempuan kecil ini rupanya tinggal sangat jauh di pinggir hutan yang bergunung dan berjalan kaki sejauh hampir 6 kilometer di awal pagi semata-mata untuk mendapatkan daging korban tersebut.

Tambahan beliau, “Seusai menguruskan pengagihan kesemua daging korban dan sumbangan kemanusiaan, kami membuat keputusan untuk menghantarnya pulang”.

“Ya, rumahnya sangat jauh sekali daripada yang lainnya. Bahkan mereka sekeluarga adalah satu-satunya keluarga Muslim yang tinggal di situ” keluhnya lagi.

Ibunya tinggal di rumah untuk menjaga 5 orang adik – adiknya yang masih kecil. Manakala bapanya tiada di rumah kerana ke hutan untuk mencari rotan untuk dijual.

Pendapatan yang diperolehi ayahnya sekitar RM 300 sahaja setiap bulan bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.

Pada saat itu kelihatan para sukarelawan Yayasan Ikhlas turut sebak dan menitiskan air mata menyaksikan keperitan hidup keluarga Herlyn.

Lantas, mereka mengeluarkan apa yang ada di dalam poket masing-masing bagi meringankan bebanan hidup Herlyn sekeluarga.

“Semoga Herlyn sekeluarga terus tabah mengharungi keperitan hidup dan istiqamah bersama petunjuk Ilahi” ujarnya lagi sebelum mengakhiri penceritaannya.