Berita

Yayasan Ikhlas Santuni 4,453 orang dalam bulan-ramadhan

Penulis: Mohamad Fathil Aqil Abdullah
16
Jun
2018

BANDAR BARU BANGI, 16 JUN 2018 – Yayasan Ikhlas (YI), sebuah pertubuhan kebajikan dan kemanusiaan, telah menyantuni lebih 4,000 orang golongan asnaf dan ana -anak yatim bersempena kedatangan bulan Ramadhan tahun ini. Usaha murni yang dijenamakan sebagai Bakul Kasih Ramadhan (BKR) ini merupakan projek kebajikan tahunan anjuran YI yang kini sudah memasuki tahun kelima penganjurannya. Disamping semakin bertambah bilangan penerima manfaatnya berbanding tahun lalu, tahun ini juga menyaksikan peningkatan penglibatan para sukarelawan Team Ikhlas iaitu seramai hampir seribu orang yang terdiri daripada pelbagai latarbelakang tak kira agama dan bangsa telah turun padang membantu menjayakan setiap misi.

Pencapaian BKR untuk tahun 1439H bersamaan 2018M kali ini menunjukkan perkembangan positif seramai 4,453 orang penerima manfaat dari 10 buah negeri, satu wilayah persekutuan, dan juga dari kalangan pelarian Rohingya di Kem Balukhali, Bangladesh telah direkodkan dimana ia melebih dari sasaran asal yakni seramai 3,000 orang sahaja. Sumbangan berbentuk barang makanan dan wang tunai untuk penerima dalam negara serta tajaan berbuka puasa untuk pelarian Rohingya ini tidaklah dapat direalisasikan jika tiada usaha sama pelbagai pihak baik dari kalangan individu mahupun kumpulan-kumpulan syarikat korporat, persatuan belia dan mahasiswa, serta kariah masjid dan surau setempat.

Menurut Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YI, Dato’ Mohd Rosli Ramli, beliau melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua para penyumbang bersempena projek BKR kali ini.

“Alhamdulillah, saya mewakili keseluruhan warga kerja Yayasan Ikhlas dengan rendah dirinya benar-benar berterima kasih kepada semua pihak yang menyumbang demi menjayakan misi yang mulia ini. Setiap sen dari sumbangan tuan-tuan dan puan-puan telahpun pihak kami menggunakannya sebaik mungkin dalam menzahirkan keprihatinan masyarakat Malaysia terhadap golongan yang memerlukan tak kira di dalam mahupun di luar negara seperti para pelarian Rohingya. Diharapkan sokongan sebegini dapat diteruskan dari tahun ke tahun agar lebih ramai lagi dapat kita santuni kerana setiap sumbangan ini bukanlah sekadar meringankan beban mereka tetapi ia juga menjadi pembakar semangat untuk mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik. “

“Erti hidup pada yang memberi. Inilah kata-kata yang sesuai saya gambarkan buat para penyumbang sekalian. Merasakan nikmat dalam kehidupan dengan cara meringankan beban kehidupan orang lain yang kurang bernasib baik. Semoga Allah SWT menerima kebajikan yang anda hulurkan”, tambah beliau.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir. Haji Kamaruddin Kassim pula menyatakan keazaman beliau berkenaan peningkatan rakan kerjasama dan penglibatan para sukarelawan pada BKR kali ini berbanding tahun sebelumnya.

“Insya-Allah, Yayasan Ikhlas akan terus komited dalam menjalankan tanggungjawab sosial ini dan kami mengajak lebih banyak pihak-pihak korporat, persatuan-persatuan, dan individu-individu untuk turut serta bersama kami bagi menjayakan misi-misi kebajikan seperti Bakul Kasih Ramadhan ini. Ternyata manfaatnya amatlah besar bukan sekadar dari segi pendapatan berbentuk material kepada golongan yang memerlukan namun juga ia menjadi isyarat jelas kepedulian rakyat Malaysia sekaligus mampu menjanjikan lahirnya modal insan yang diidami oleh negara”, kata beliau.

Muat turun Laporan Projek Bakul Kasih Ramadhan 1439H / 2018M Yayasan Ikhlas di http://bit.ly/laporanbkr2018