Berita

Ramadhan Outreach cetus pengalaman antarabangsa sambut Ramadhan

Penulis: Nurul Husna Che Hamzah
10
Jun
2018

Bersempena dengan bulan Ramadhan yang mulia ini, Yayasan Ikhlas, sebuah Pertubuhan Peduli & Prihatin mengambil kesempatan untuk beramah mesra dengan golongan mualaf, bukan Islam, asnaf, pelajar-pelajar antarabangsa terutamanya dari negara-negara Arab dan NGO dakwah antarabangsa dalam satu majlis berbuka puasa di Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), UPM.

Penganjuran aktiviti bersama Kelab Sosial FRSB, Persatuan Pelajar Antarabangsa UPM, dan sahabat Masjid UPM adalah satu inisiatif untuk menonjolkan keindahan kebudayaan Melayu dan Islam kepada peserta yang terdiri daripada berbilang negara dan bangsa.

Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti memakai pakaian kebangsaan negara masing-masing, persembahan kebudayaan, “potluck” makanan tradisional dan sebagainya. Anak yatim juga turut dijemput bagi meraikan mereka dan untuk diberikan sedikit sumbangan.

Program yang bermula pada pukul 3 petang itu telah dimulakan dengan majlis pembukaan dan ucapan alu-aluan oleh wakil Pengerusi Yayasan Ikhlas, Mejar Ridzwan dan ucapan daripada Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Tuan Haji Ir. Kamaruddin Kassim. Program seterusnya diikuti dengan persembahan nasyid dan silat Hang Tuah.

Acara yang paling dinanti-nantikan adalah talkshow “Our Spiritual Journey” yang disampaikan oleh mualaf dari NGO Inspirasi Mualaf, myIKUT, iERA dan seorang bekas mafia dari Itali, Vince Focarelli.

Program ini diakhiri dengan majlis berbuka puasa sambil beramah mesra antara setiap tetamu yang hadir.