Berita

Kumpul sumbangan SUNATHON Sarawak 400 orang berkhatan November ini

Penulis: Syafiq Syahmi Sazali
4
Okt
2018

4 Okt, Bandar Baru Bangi – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli & prihatin akan mengadakan program Sunathon di empat kawasan pedalaman Sarawak pada November ini. Kawasan pedalaman yang akan dikunjungi Yayasan Ikhlas ialah Pekan Kapit, Pekan Song, Pekan Belaga dan Kampung Sungai Asap.

Program Sunathon ini merupakan siri 3 dijalankan oleh Yayasan Ikhlas di Sarawak. Sebelum ini, siri pertama dijalankan di Bintulu dan siri kedua di Kuching. Pada siri ketiga ini, program Sunathon dijalankan dengan kerjasama Pusat Kesihatan Kapit dan beberapa klinik kerajaan yang berdekatan dengan lokasi program.

Selain dari program berkhatan, program pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi, pemberian sumbangan kepada keluarga yang memerlukan, program masyarakat akan dijalankan juga. Segala program berbentuk perubatan akan dijalankan oleh rakan kerjasama iaitu Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-MEDIK) dan MediCom Malaysia, yang mempunyai lebih dari 2000 ahli-ahli perubatan dari pelbagai disiplin.

Ir Hj Kamaruddin Kassim, Pengarah Program Sunathon berkata, “Program misi bantuan perubatan ini sebenarnya dijalankan setiap bulan oleh Yayasan Ikhlas, Cuma yang program Sunathon dijalankan setiap hujung tahun. Program ini sangat perlu sebab kawasan pedalaman Sarawak tidak ada akses yang mudah untuk ke klinik-klinik atau hospital-hospital yang berdekatan serta mempunyai masalah kesihatan yang memerlukan rawatan segera.

Jika pada tahun sebelum ini, yang sertai program sunathon ini bukan hanya orang Islam sahaja, dan bukan hanya kanak-kanak, tapi orang bukan Islam dan orang dewasa juga terlibat sekali…”

Seramai 80 orang yang terdiri daripada doktor pakar, doktor perubatan, sukarelawan akan turun ke lokasi yang akan dijalankan pada 24 November sehingga 30 November 2018 ini.

Dr Khairol Jambli, Pengurus Yayasan Ikhlas Sarawak berkata, “ Sebanyak RM 86,000.00 diperlukan bagi menjayakan program ini. Ia termasuklah kos sumbangan kepada lebih 400 keluarga yang memerlukan, dan ubat-ubatan bagi pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi serta berkhatan.”

Sumbangan dari mereka yang peduli & prihatin akan mereka di kawasan pedalaman Sarawak boleh dihulurkan ke akaun Yayasan Ikhlas (Maybank Islamic : 5628 3463 6228). Setiap sumbangan layak mendapat pengecualian cukai. Segala pertanyaan atau makluman sumbangan, boleh hubungi kami di talian 0129790211 (Syafiq).