Berita

Mosque Open Day mengukuhkan perpaduan kaum

Penulis: Dr Zulhilmi Hasif
29
Julai
2018

Yayasan Ikhlas dengan kerjasama PEACE Islamic Da'wah Centre Of Excellence(PEACE), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Seberang Prai Utara, dan Masjid At-Taqwa Taman Bertam Indah telah menganjurkan Program Mosque Open Day yang bertujuan untuk mengeratkan perpaduan antara kaum.

Program kemasyarakatan ini telah dilaksanakan kerana sejak akhir - akhir ini, Malaysia telah didendangkan dengan pelbagai isu yang mampu menggoyahkan perpaduan masyarakat.

Menurut Ustaz Muhammad Syawaz Menon selaku Pengarah Program Mosque Open Day, program ini diharapkan dapat menghilangkan rasa prejudis di antara pelbagai kaum dan agama.

Selama ini golongan bukan Islam di Malaysia mereka hanya melihat masjid dari jauh dan sudah pasti mereka akan tertanya apakah aktiviti yang dilakukan di dalam masjid.

Program ini memberi peluang kepada Bukan Islam untuk melihat sendiri masjid secara lebih dekat dan mereka juga ditunjukkan hikmah dan cara-cara bagaimana umat Islam bersuci dan bersembahyang.

Lebih 30 orang bukan Islam yang menghadiri program tersebut yang terdiri dari kaum Cina dan India.

Program bermula dengan forum ringkas mengenai pengenalan Islam dan sesi soal jawab. Kemudian, peserta di bawa ke bahagian berwudhu untuk ditunjukkan cara umat Islam bersuci. Selepas itu, mereka di bawa ke ruang solat untuk ditunjukkan cara bersembahyang pula.

Antara aktiviti lain yang turut diadakan, para peserta wanita diajar dan dapat mempraktikkan sendiri cara memakai tudung.