Berita

15,500 keluarga yang memerlukan terima bungkusan daging korban rakyat Malaysia

Penulis: Syafiq Syahmi Sazali
30
Ogos
2018

30 Ogos, Bandar Baru Bangi – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin, telah menjayakan ibadah korban dan akikah yang membabitkan 211 ekor lembu dan 21 ekor kambing di 4 buah negara iaitu Bangladesh, Kemboja, Indonesia dan Malaysia.

Ibadah itu telah memberi manfaat kepada lebih 15,500 warga miskin, anak-anak yatim, pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh - Myanmar, pelajar di pondok dan madrasah, masyarakat mualaf di Sabah dan Sarawak, termasuklah masyarakat di kawasan pedalaman yang jarang sekali merasai daging lembu atau kambing.

“Alhamdulillah, keseluruhan 132 ekor lembu dan 20 ekor kambing korban di Cox's Bazar, Kem Rohingya, kawasan pedalaman Bangladesh di Kushtia dan Chittagong, berjaya dilaksanakan 100% dalam masa 1 hari. Ibadah Korban paling mencabar setakat ini.

Daging lembu terus diagihkan kepada masyarakat di sana tanpa disediakan jamuan. Berlaku masalah apabila lori yang membawa lembu-lembu korban Yayasan Ikhlas dirompak oleh mereka yang mempunyai kuasa di kawasan sana. Alhamdulillah, semua dapat diselesaikan dengan baik.

Sementara itu, di Kemboja, ibadah Korban dan Akikah dilakukan di dua tempat yang mengambil masa perjalanan hampir 6 jam dari Phnom Penh iaitu di Kampung Senjumren di wilayah Tboung Khmom dan Kampung Olung di wilayah Kratie. Kesemua kawasan ini merupakan kawasan perancangan projek bantuan Yayasan Ikhlas dalam membantu umat Islam di sini dari sudut pendidikan, ekonomi dan keperluan asas.

Saudara Fathil Aqil yang mengetuai rombongan seramai 4 orang menuju ke kawasan-kawasan sembelihan dan mengagihkan kepada wakil kampung-kampung yang berkumpul di satu tempat penyembelihan.

Di Aceh, Indonesia pula, ibadah Korban dan Akikah dilakukan di pondok yang dibina Yayasan Ikhlas selepas peristiwa tsunami 11 tahun yang lalu iaitu Pondok Yatim Tahfiz Ar-Raudhah, Lhoksuemawe. Kembara korban di Aceh diketuai Ustaz Wan Hisham dan membawa rombongan seramai 12 orang sukarelawan.

Puan Eshah, seorang ibu berusia 50-an dan bekerja sebagai pengurus Rumah Anak Yatim Ruqaiyah merupakan salah seorang sukarelawan yang mengikuti misi Korban di Aceh. Beliau telah meluahkan rasa terima kasihnya kepada Yayasan Ikhlas.

"Terima Kasih kepada Yayasan Ikhlas kerana memberi peluang kepada saya untuk menyertai Kembara Korban Aceh. Pelbagai pengalaman dan ilmu yang ditimba. Insha Allah saya akan cuba untuk praktikkan di Malaysia khususnya utk anak didik saya. Jika diberi peluang dan diizinkan Allah, saya ingin menyertainya lagi. Kembara Korban Aceh akan terpahat di memori setelah saban tahun berseorangan menyambutnya di Bandar Baru Bangi".

Sebanyak 4 ekor lembu yang berjaya dikumpulkan dan disembelih di perkarangan pondok. Daging-daging lembu dan kambing kemudiannya diagihkan kepada pondok (makanan pelajar pondok) dan kepada penduduk miskin sekitar Lhoksuemawe.

Di Malaysia pula, ibadah korban dan akikah telah dilakukan di Sabah dan Sarawak yang berjumlah sebanyak 11 ekor lembu

Tiga perkampungan mualaf dan kawasan pedalaman di Sabah telah dipilih sebagai kawasan sasaran korban tahun ini iaitu di Kampung Gas dan Kampung Sundang di Sandakan, serta Kampung Selambangon, Kota Kinabalu. Kesemua kampung-kampung ini berada di atas air.

Kampung Gas yang menempatkan lebih dari 200 keluarga di sana, telah ditimpa musibah kebakaran yang menyebabkan lebih dari 90 buah rumah hancur musnah terbakar. Kini, mereka tinggal menumpang dan tinggal di dalam dewan sementara.

Di Sarawak pula, ibadah korban sebanyak 5 ekor lembu telah dilaksanakan di kawasan pedalaman Sarawak dengan kerjasama pelbagai agensi. Di Bintulu dan Limbang, kerjasama dibuat bersama YADIM sebanyak 2 ekor lembu. Di Simunjan, ibadah korban dijalankan di Kampung Isu Sedia hasil sumbangan Sime Darby. Di Lendu, ibadah korban dijalankan dengan kerjasama Hikmah manakala di Long Busang, kerjasama dijalankan bersama Urusetia Saudara Kita (USK).

“Program ini membolehkan kita untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan termasuklah fakir dan miskin. Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini, sementara di pihak orang yang menyumbang pula, akan terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan yang menimpa saudara seIslamnya. “

“Saya berharap projek ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan banyak lagi penyertaan dari masyarakat di Malaysia demi membantu saudara-saudara kita yang tidak mampu di dalam dan luar negara, “ kata Pengerusi Yayasan Ikhlas, Dato’ Mohd Rosli Ramli.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir. Hj. Kamaruddin Kassim berkata, lebih dari 15,500 bungkusan daging telah diagih-agihkan daripada program tahun ini.

“Jumlah yang mendapat manfaat pada tahun ini adalah lebih ramai berbanding pada tahun lepas. Seramai 15,500 orang telah menerima bungkusan daging pada tahun lepas berbanding 9,100 orang pada tahun lepas. Ini semua berjaya dicapai dengan kepercayaan semua rakyat Malaysia kepada usaha Yayasan Ikhlas, “ katanya.

Muat turun laporan korban di setiap kawasan: