Berita

150 penoreh getah di Kedah terima bantuan

Penulis: Rabiatul Hasanah Mahmood
24
Dis
2018

Kedah – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan Peduli & Prihatin telah menyampaikan sumbangan kepada 150 orang penduduk di Sik dan Baling sempena musim tengkujuh yang berlangsung yang mengakibatkan penduduk di sini hilang punca pendapatan kerana tidak dapat bekerja.

Hujan yang berterusan menyebabkan penduduk yang majoritinya bekerja sebagai penoreh getah tidak keluar ‘memotong’. Jika dapat menoreh pun, pada petang atau esoknya hujan akan turun dan menyebabkan segala usaha mereka sia-sia. Harga getah beku yang dijual juga semakin rendah di kawasan pedaman ini dengan berat RM 1.80 bagi satu kilogram. Jika tanah tersebut tanah orang lain, maka upah yang mereka perolehi hanya separuh sahaja.

Keadaan yang berlaku ini menolak Yayasan Ikhlas untuk membantu semampu mungkin penduduk di kawasan pedalaman ini. Seramai 150 penerima sumbangan adalah mereka yang terdiri daripada kalangan penoreh getah, ibu tunggal, warga emas uzur dan asnaf.

Sumbangan wang tunai dan barangan makanan asas yang disampaikan adalah hasil kutipan daripada orang ramai, syarikat korporat dan syarikat pembekal barangan seperti syarikat Central Sugar Refinary dan lain-lain.

Penyerahan sumbangan yang berlangsung selama dua hari di Kedah itu dihadiri oleh Pengerusi Yayasan Ikhlas iaitu Dato’ Mohd Rosli Ramli serta Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir Tuan Haji Kamaruddin Kassim. Selain itu, turut hadir rakan kerjasama yang lain iaitu ISMA Alor Setar, Kelab Kebajikan Wanita Yayasan Ikhlas, jawatankuasa Surau Bangi Perdana dan Kelab Pacuan 4 Roda.

Pengerusi Yayasan Ikhlas, Dato’ Mohd Rosli Ramli berkata, “ Kami berharap agar ramai lagi pihak di luar sana untuk sama-sama menyumbang melalui Yayasan Ikhlas. Inilah apa yang kami mampu lakukan buat masa sekarang berdasarkan kapasiti kami membantu penduduk yang memerlukan di Kedah. ”

Beliau juga melahirkan rasa bersyukur diatas keperihatinan dan kepercayaan orang ramai kepada Yayasan Ikhlas yang merupakan saluran untuk menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.

Turut berkata Pengerusi Pusat Amal Komuniti Al-Aziz Seri Jenalik, Baling, Encik Nazir Razali “ Ini antara julung kali program sebegini dijalankan. Saya berharap orang ramai dapat menyumbang kepada masyarakat luar bandar seperti kami. Saya berharap agar bantuan sebegini diteruskan lagi dan mengadakan pelbagai lagi program yang lain. ”

Selesai majlis penyerahan di Sik dan Baling, Yayasan Ikhlas juga mengambil peluang berkesempatan menziarahi keluarga seorang wira negara yang baru sahaja kembali ke rahmatullah iaitu Allahyarham Muhammad Adib di Kuala Kedah. Sumbangan turut disampaikan kepada keluarga Allahyarham berupa wang tunai bagi membantu mengurangkan sedikit kesulitan yang mereka hadapi.