Berita

Mereka ni semua patut masuk wad... (part 2)

Penulis: Syafiq Syahmi Sazali
31
Jan
2018

Sebanyak enam buah klinik dibuka di semua kem berkenaan, yang menempatkan seramai 13 orang doktor yang dihantar dari CIMC. Doktor yang bersama dalam rombongan Yayasan Ikhlas memberi khidmat bantuan kepada doktor di sana.

Salah seorang doktor dari Malaysia, Dr Nujaimin Udin berkata, " Kat sini kita tak boleh buat apa-apa.. Budak yang demam walau lebih dari 19 hari, kita hanya mampu kasi ubat sahaja. Bayi yang baru lahir, kita mampu rawat sakit dan bengkungkan bayi sahaja. Rata-rata bayi yang baru lahir ada jangkitan pada tali pusat (infected umbilical stump).

Kalau kat Malaysia, mereka ini semua kita dah tahan dalam wad... "

Sambungnya lagi, “ Kami dibawa masuk ke dalam empat buah kem sahaja oleh Dr Muslihuddin, orang Bangladesh. Boleh kata setiap klinik yang dibuka di setiap kem akan dikunjungi lebih kurang 200 orang Rohingya yang sakit untuk terima rawatan.

Bahasa Rohingya dan bahasa Bangla ada beberapa perbezaan. Jadi, orang Rohingya yang boleh berbicara bahasa Bangla sangat-sangat diperlukan untuk membantu kelancaran rawatan mereka yang sakit...

Ketika saya sampai di sana, saya lihat ramai orang Rohingya yang sedang duduk menunggu giliran, terutamanya si ibu bersama bayi-bayi mereka dan kanak-kanak yang menggigil kesejukan.”

Selain bantuan makanan dan perubatan, sebanyak 400 helai selimut turut diserahkan kepada keluarga di kem Balukhali 2 dan Balukhali 1.

Saudara Syafiq Syahmi yang turut serta dalam misi ini menceritakan, “Ketika saya sampai di Dhaka, Bangladesh, waktu malam saja dah cecah 18 darjah celcius. Kalau kat kem pelarian Rohingya, malam boleh capai 8 darjah celcius, pagi dalam 18 darjah celcius. Ditambah lagi dengan keadaan rumah yang beratapkan plastik, berlantaikan tanah.

Saya masuk ke dalam rumah mereka, memang tak ada apa-apa. Mereka baring dan tidur di atas tanah menggigil kesejukan…”

Dato’ Mohd Rosli Ramli, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas berkata, “ sejak dari awal bulan 1 tahun 2017 sehingga sekarang, kami telah sampaikan pelbagai bentuk bantuan, bermula dengan sumbangan selimut waktu musim sejuk, diteruskan dengan pembinaan telaga tiub atau dipanggil juga pam air, pembinaan surau dan madrasah, sumbangan makanan iftar di 5 kawasan sepanjang Ramadhan, seterusnya pengagihan daging korban ke dalam kawasan kem.

Setakat hari ini, jumlah yang telah disampaikan ialah RM 227,500.00.”

Serentak itu, Yayasan Ikhlas amat mengharapkan sumbangan orang ramai untuk turut sama membantu meneruskan misi kemanusiaan terhadap etnik minoriti Islam tersebut.

Sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun Yayasan Ikhlas, 8600 601 366 (CIMB), 5628 3463 6228 (Maybank) atau 1108 0100 1514 (Bank Rakyat).

Orang ramai juga boleh menyumbang melalui dalam talian di https://www.billplz.com/saverohingya atau menghubungi terus 012-9790211, atau melalui emel di yayasanikhlas2009@gmail.com.