Berita

Jeli tuala wanita jadi makanan rohingya (part 1)

Penulis: Syafiq Syahmi Sazali
30
Jan
2018

COX'S BAZAR, 30 Januari 2018, Selasa - Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin serta Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di enam kem pelarian Rohingya, di sini.

Misi selama enam hari bermula 23 Januari lalu disertai empat sukarelawan daripada Yayasan Ikhlas dan tiga I-Medik, melibatkan kem di Balukhali 1, Balukhali 2, Gundhum 2, Gundhum 3, Jamtoli dan Kutupalong.

Lebih 1200 pek makanan telah disampaikan kepada pelarian Rohingya, termasuk bantuan perubatan yang dijalankan dengan kerjasama Chittagram International Medical College (CIMC) yang berpusat di Chittagong.

Ustaz Abdul Rahman Iskandar yang mengetuai misi berkata, “ Satu hakikat yang perlu kita tahu ialah, saudara Rohingya kita sedang sangat-sangat kelaparan.

Salah seorang dari rombongan kami, beri belon pada kanak-kanak Rohingya, tapi apa yang berlaku, kanak-kanak tu berebut dan ada yang masukkan dalam mulut…

Mereka sangat-sangat kelaparan. Mereka hanya berlegar di kawasan kem sahaja, mengharap simpati orang ramai. Bukan sehari, tetapi setiap hari...”

Sambungnya lagi, “ Kami diceritakan oleh rakan NGO ketika di kem pelarian Balukhali 2, saudara Rohingya kita terpaksa makan jeli dari tuala wanita. Bukan mereka tidak tahu atau tidak berpendidikan sehingga tidak tahu tuala wanita, tetapi mereka sangat-sangat lapar.

Mereka tidak dibenarkan keluar dari kawasan kem, tidak dibenarkan bekerja oleh kerajaan Bangladesh.

Kawasan bukit, penuh pasir, apa lagi yang mereka boleh makan? Pasir?

Bantulah mereka umat Islam kerana mereka sedang berlapar...”