Please wait...

  • Hubungi Kami : +60 3-8926 5954
  • Email : yayasanikhlas2009@gmail.com

Yayasan Ikhlas edar 9100 bungkusan daging korban

4Sept 2017
Yayasan Ikhlas edar 9100 bungkusan daging korban

BANDAR BARU BANGI, 11 September 2017 – Yayasan Ikhlas, sebuah pertubuhan peduli dan prihatin, menjayakan ibadah korban dan akikah membabitkan 128 ekor lembu dan 23 ekor kambing di 6 buah negara iaitu Bangladesh, Kemboja, Thailand, Indonesia, Arab Saudi dan Malaysia.

Ibadah itu telah memberi manfaat kepada lebih 9100 warga miskin, anak-anak yatim, pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh - Myanmar, pelajar di pondok dan madrasah, masyarakat mualaf di Sabah dan Sarawak, termasuklah masyarakat di kawasan pedalaman yang jarang sekali merasai daging lembu atau kambing.

Program Ibadah Korban dan Akikah di Bangladesh diketuai Ustaz Abdul Rahman Iskandar, Pengurus Yayasan Ikhlas Kelantan, telah turun ke 6 daerah iaitu Dhaka, Kuhstia, Dinashpur, Khluna, Nageswari Kuligram dan kem pelarian rohingya di sekitar Teknaf. Sebanyak 69 ekor lembu dan 1 ekor kambing disembelih dan dagingnya diagihkan kepada masyarakat di sana.

Daging lembu diagihkan kepada masyarakat di kawasan setempat. Tiada majlis kenduri dilakukan sepertimana adat kebiasaan di Malaysia kerana daging seratus peratus diagihkan kepada penduduk yang terdiri dari fakir miskin tegar.

Purata wakil keluarga hanya menerima 1.5 kilogram sahaja kerana terlalu ramai bilangan penerima. Hasrat YI ingin mengagihkan 2 kilogram setiap penerima, tapi apakan daya, wakil penduduk berpendapat lebih baik ramai yang dapat merasa daging walau hanya sedikit. Tulang juga tiada yang tersisa, semua habis licin termasuk kepala dan belulang.

Sementara itu, di Kemboja, ibadah Korban dan Akikah dilakukan di tiga tempat yang mengambil masa perjalanan hampir 6 jam dari Phnom Penh iaitu di Kampung Senjumren di wilayah Tboung Khmom, Kampung Olung di wilayah Kratie dan Kampung Pursat di wilayah Cokhlong. Kesemua kawasan ini dipilih selepas misi riki Yayasan Ikhlas pada bulan 3 yang mendapati kesusahan yang melanda masyarakat di sini.

Saudara Fathil Aqil mengetuai rombongan seramai 10 orang menuju ke kawasan-kawasan sembelihan dan mengagihkan kepada wakil kampung-kampung yang berkumpul di satu tempat penyembelihan.

Di Aceh, Indonesia pula, ibadah Korban dan Akikah dilakukan di pondok yang dibina Yayasan Ikhlas selepas peristiwa tsunami 11 tahun yang lalu iaitu Pondok Yatim Tahfiz Ar Raudhah, Lhoksuemawe.

Sebanyak 3 ekor lembu dan 10 ekor kambing sahaja yang dapat dikumpulkan dan dijalankan penyembelihan di perkarangan pondok. Daging-daging lembu dan kambing diagihkan kepada pondok (makanan pelajar pondok) dan kepada penduduk miskin sekitar Lhoksuemawe.

Misi di Thailand pula, empat ekor lembu disembelih di Pulau Puju (tiga) dan Pulau Berseri (satu). Ibadah ini dijalankan secara gotong royong dengan melibatkan masyarakat muslim di sana, dan diadakan sambutan perayaan aidiladha di malam pertama raya.

Di Makkah, sebab utama Yayasan Ikhlas memilih Makkah kerana harga kambing yang murah berbanding kawasan dan negara lain, dan seterusnya ia akan menggalakkan ramai umat Islam di Malaysia untuk melaksanakan korban atau akikah bersama Yayasan Ikhlas.

Ibadah korban di Makkah tahun ini hanya dapat mengumpulkan 11 ekor kambing, dan daging-daging kambing diagihkan kepada masyarakat miskin di 4 kawasan iaitu di Nakasah, Umluj, Toif, Tarbiah di Makkah al Mukaramah.

Di Malaysia pula, ibadah korban dan akikah dilakukan di Sabah, Sarawak dan Kedah, membabitkan 24 ekor lembu.

Sebanyak tiga kawasan perkampungan mualaf di Sabah dipilih sebagai kawasan sasaran korban tahun ini iaitu di Kampung Batanggon Laut Paitan, Kampung Kadayan Pitas dan Kampung Salimpadon Darat Pitas.

Di Sarawak pula, ibadah korban dijalankan dengan kerjasama YADIM sebanyak tiga ekor lembu. Penyembelihan dibuat di kawasan perkampungan mualaf di Miri, Bintulu dan Mukah.

18 ekor lembu disembelih di Kedah pada tahun ini, di mana sebanyak lima ekor disembelih di Kampung Jenalek, Kupang, seterusnya 10 ekor di Kampung Gulau dan Kampung Landai, Sik, serta 2 ekor lagi disembelih di Kampung Hutan Pulai, Jalan Langgar, Alor Setar.

Ibadah korban dan akikah di Kedah ini dijalankan dengan kerjasama Surau Al Amin Dataran Maybank, Institut Jantung Negara (IJN) dan Masjid Al Ikhlas, Seksyen 13 Shah Alam.

“ Program ini membolehkan kita untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang kurang berkemampuan termasuklah fakir dan miskin. Mereka tentunya akan mensyukuri nikmat pemberian daging korban ini, sementara di pihak orang yang menyumbang pula, akan terpancar rasa gembira yang tidak terhingga kerana dapat membantu meringankan kesusahan yang menimpa saudara seIslamnya. “

“ Saya berharap projek ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan banyak lagi penyertaan dari masyarakat di Malaysia demi membantu saudara-saudara kita yang tidak mampu di dalam dan luar negara, “ kata Pengerusi Yayasan Ikhlas, Dato’ Mohd Rosli Ramli.

Pengurus Besar Yayasan Ikhlas, Ir. Hj. Kamaruddin Kassim berkata, lebih dari 9100 bungkusan daging telah diagih-agihkan daripada program tahun ini.

“ Jumlah yang mendapat manfaat adalah lebih dari tahun-tahun sebelumnya, iaitu sebanyak 9100 bungkusan daging. Dan ini semua berjaya dicapai dengan kepercayaan semua rakyat Malaysia pada usaha Yayasan Ikhlas, “ katanya.